Isu gangguan bekalan: Bukan hanya stok makanan, pengguna juga perlu ada wang tunai di tangan

Isu gangguan bekalan: Bukan hanya stok makanan, pengguna juga perlu ada wang tunai di tangan

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Masyarakat tidak seharusnya hanya menumpukan kepada penyediaan stok makanan semata-mata, sebaliknya perlu mempunyai wang tunai bagi memastikan urusan mendapatkan barangan keperluan tidak terjejas.

Pensyarah Fakulti Industri Agro Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr Seri Intan Mokhtar berkata, walaupun bekalan makanan negara pada asasnya mencukupi dan sentiasa dipantau, keupayaan pengguna membeli barangan keperluan ketika sistem pembayaran terganggu juga perlu diberi perhatian.

“Apa yang lebih merisaukan adalah keupayaan membeli kerana gangguan pembelian digital dan sistem perbankan yang kini menjadi sasaran utama.

“Masyarakat makin lama makin selesa dengan penggunaan pembelian tanpa tunai. Saranan saya, pengguna juga perlu memegang semula tunai bagi keperluan mendesak bagi tempoh 72 jam sekira sistem tidak berfungsi.

“Meskipun bank mempunyai keupayaan memulihkan sistem dengan segara namun ia berkemungkinan dapat digunakan semula dalam tempoh 48 jam,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T Saravanan menyarankan pengguna menyediakan stok makanan dan barangan keperluan asas sekurang-kurangnya untuk tempoh 72 jam sebagai langkah persediaan menghadapi kemungkinan gangguan bekalan susulan ketidaktentuan geopolitik global dan bencana alam.

Mengulas lanjut, Seri Intan berkata, selain menyediakan stok makanan kering, pengguna juga boleh membeli stok makanan sedia dimakan (RTD) sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa dan Diplomasi Asia (AIIAD) Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Bakri Mat berkata, kedudukan bekalan makanan negara ketika ini masih terkawal dan tidak menunjukkan keperluan untuk tindakan kecemasan.

Namun, katanya kecukupan bekalan tidak semestinya menjamin semua jenis makanan dapat diperoleh pengguna secara berterusan sekiranya berlaku gangguan.

“Kita perlu berhati-hati untuk tidak menganggap bahawa semua jenis makanan mempunyai tahap simpanan atau daya tahan bekalan yang sama.

“Beras, misalnya mempunyai mekanisme bekalan penimbal yang lebih tersusun, sedangkan bekalan makanan mudah rosak seperti sayur-sayuran, ikan dan beberapa sumber protein bergantung kepada kesinambungan pengeluaran, pengangkutan serta sistem pengedaran harian.

“Oleh itu, keupayaan sebenar negara menghadapi krisis bukan sahaja ditentukan oleh jumlah stok makanan, tetapi juga jenis gangguan, tempoh gangguan dan keupayaan sistem bekalan untuk terus berfungsi,” katanya.

Bakri berkata, daripada perspektif keselamatan makanan, beliau melihat risiko yang lebih besar adalah kemungkinan gangguan kepada akses dan kemampuan pengguna mendapatkan makanan.

“Ketidaktentuan geopolitik boleh menjejaskan kos tenaga, logistik, bahan mentah dan sumber import yang akhirnya meningkatkan kos pengeluaran dan harga makanan tempatan walaupun bekalan fizikal masih tersedia.

“Pada masa yang sama, kejadian banjir besar, gangguan infrastruktur atau sistem logistik boleh menyebabkan makanan tidak sampai ke kawasan tertentu pada waktu diperlukan.

“Justeru, Malaysia perlu terus memperkukuh stok penimbal bagi makanan strategik, mempelbagaikan sumber import, meningkatkan keupayaan pengeluaran domestik dan memastikan sistem pengedaran mempunyai pelan persediaan ketika kecemasan,” katanya.

Bakri berkata kepentingan negara bukan sekadar memastikan stok makanan mencukupi untuk beberapa bulan, tetapi memastikan bekalan itu dapat sampai kepada rakyat secara berterusan, dengan harga yang mampu dibayar, termasuk ketika berlakunya gangguan luar jangka kerana itulah ukuran sebenar daya tahan sistem keterjaminan makanan negara.

Mengulas saranan FOMCA, beliau berkata ia adalah wajar namun pihak berwajib perlu menyampaikan maklumat jelas bahawa persediaan 72 jam ialah langkah berjaga-jaga, bukannya arahan menyimpan makanan secara besar-besaran.

Katanya, ketidaktentuan geopolitik boleh menjejaskan kos tenaga, logistik, bahan mentah dan sumber import, sekali gus meningkatkan kos pengeluaran serta harga makanan tempatan walaupun bekalan fizikal masih tersedia.

Beliau berkata, tanggungjawab menghadapi kemungkinan krisis juga tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya kepada pengguna, terutama isi rumah berpendapatan rendah yang mungkin tidak mempunyai lebihan wang untuk membeli dan menyimpan makanan.

Sebaliknya, kerajaan perlu terus menjamin kestabilan bekalan dan pengedaran makanan supaya rakyat dapat memperoleh keperluan asas secara berterusan pada harga yang mampu dibayar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top