Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berpandangan menteri yang tidak lagi sehaluan dengan kerajaan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sewajarnya mengundurkan diri secara sukarela tanpa perlu menunggu sehingga dipecat.
Tak perlu tunggu dipecat
Menurutnya, tindakan tersebut lebih mencerminkan prinsip dan pendirian seseorang pemimpin berbanding terus kekal dalam Kabinet, namun pada masa sama mengeluarkan kenyataan yang memburukkan kerajaan.
“Mana-mana menteri daripada mana-mana blok yang tidak lagi sehaluan atau tidak mampu menyokong kepimpinan Perdana Menteri, maka mereka sewajarnya mengundurkan diri.
“Tidak perlu menunggu sehingga dipecat. Kalau tidak boleh bersabar atau tidak mahu lagi bersama kerajaan, mereka boleh keluar pada bila-bila masa. Tiada masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kuala Linggi, Mukhlis Mubin pada Dialog Santai bersama Persatuan Nelayan Kuala Linggi di jeti LKIM, Sabtu.

Mengulas kenyataan Rafizi
Dalam pada itu, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik terus terpelihara bagi menjamin kestabilan ekonomi negara.
Kenyataan itu dibuat ketika mengulas pandangan bekas pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyarankan Anwar menggugurkan menteri daripada UMNO susulan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.
Mengulas lanjut, Kamil menyifatkan tindakan pemimpin yang masih bersama kerajaan tetapi pada masa sama mengkritik kepimpinannya sebagai tidak berprinsip.
“Siang hari bercakap lain, malam pula menikam belakang dengan mengeluarkan kenyataan yang bukan-bukan.
“Orang seperti ini tidak mempunyai prinsip, maruah, harga diri dan jati diri serta pendirian politik yang jelas,” katanya.
Hormat keputusan Loke
Dalam perkembangan sama, beliau berkata AMK menghormati pendirian dan prinsip Anthony Loke berhubung isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Kita bercakap soal undang-undang, perlembagaan dan menghormati institusi namun seperti yang disebut Perdana Menteri, kita perlu bertanya apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan.
“Pada masa sama, kita tidak boleh menafikan di bawah perlembagaan yang sama, rakyat juga berhak menyatakan pendapat dan pendirian selagi menghormati prinsip lain yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.





