Puteri UMNO lapor polis isu tangguh penahanan rumah Najib

Puteri UMNO lapor polis isu tangguh penahanan rumah Najib

PETALING JAYA: Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menggerakkan siri laporan polis berkaitan isu penangguhan pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah berkaitan tahanan rumah kepada bekas Presidennya, Datuk Seri Najib Razak.

Laporan polis pertama daripada Puteri UMNO Malaysia dibuat oleh Ketua Puteri UMNO Wilayah Persekutuan, Rose Amalina Rosemin, di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, pada jam 1.54 petang, hari ini.

Laporan tersebut mempersoalkan tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung pelaksanaan titah pengampunan dan perintah Mahkamah Tinggi, selepas Najib membayar denda RM50 juta yang dinyatakan sebagai syarat untuk memulakan tahanan di rumah bagi menghabiskan baki hukuman penjaranya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Antara perkara yang dibangkitkan termasuk bidang kuasa Peguam Negara, pematuhan terhadap Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta pelaksanaan perintah mahkamah.

Laporan itu turut meminta pihak polis menyiasat sama ada terdapat unsur salah guna kuasa, ketidakpatuhan terhadap perintah mahkamah atau kesalahan lain di bawah undang-undang.

Puteri UMNO menggesa siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan bagi memastikan setiap tindakan pihak berkuasa mematuhi Perlembagaan Persekutuan, menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta menjunjung kedaulatan undang-undang.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, bahawa titah terbaharu Istana Negara sepatutnya memberikan kejelasan terhadap pelaksanaan pengampunan berkenaan.

“Pendirian Istana Negara sudah jelas. Jabatan Peguam Negara wajar menilai semula pendiriannya berhubung penangguhan pelaksanaan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak serta memberikan penjelasan kepada rakyat. Titah Yang di-Pertuan Agong dan keputusan mahkamah mesti dihormati selaras dengan Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Laporan itu merupakan yang pertama daripada kepimpinan Puteri UMNO di seluruh Malaysia.

Tindakan susulan akan turut dilaksanakan oleh kepimpinan Puteri UMNO di negeri-negeri lain sebagai usaha bersama untuk memastikan isu berkenaan mendapat penelitian dan siasatan sewajarnya. – UTUSAN

Scroll to Top