am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemuda UMNO di peringkat negeri dan bahagian akan membuat laporan polis berhubung penangguhan pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Pemudanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, laporan polis itu bagi membolehkan pihak berkuasa meneliti sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang dalam pelaksanaan titah dan perintah mahkamah.
Katanya, sebarang proses lanjut termasuk rujukan mahkamah tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan titah yang dinyatakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sebagai ‘jelas dan tanpa ambiguiti’.
“Seperti yang dititahkan, kuasa pengampunan adalah prerogatif diraja di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaannya ‘hendaklah dihormati selaras kedudukan Raja Berperlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang’.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan terus menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong dan mempertahankan kedaulatan undang-undang serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu Istana Negara mengeluarkan kenyataan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib Razak disifatkan menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut titah itu, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Pejabat Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan menegaskan tidak pernah mempertikai, mengetepikan atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada bekas ahli Parlimen Pekan terbabit.
AGC dilapor berkata, pihaknya sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kedudukan institusi Yang di-Pertuan Agong serta mengiktiraf prerogatif pengampunan baginda sebagaimana diperuntukkan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




