UPSI lengkapkan hatrik kejuaraan

UPSI lengkapkan hatrik kejuaraan

DOMINASI Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam Perak Football Varsity Challenge terus utuh apabila muncul juara buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan UiTM Cawangan Perak, 3-2 pada aksi final di Padang Utama, Kampus Seri Iskandar.

Bagaimanapun, tuan rumah yang hadir selaku juara Liga Bola Sepak IPT Divisyen Tiga 2026 terlebih dahulu mengejutkan UPSI apabila meledak dua gol menerusi Muhammad Hanif Nazmi Hazuan dan Adeeb Irman Ezani Saiful Azni dalam tempoh 10 minit pertama.

Memasuki babak kedua, UPSI bangkit memperkemaskan permainan sebelum merapatkan jurang menerusi jaringan Muhammad Iskandar Aznan pada minit ke-56, diikuti Muhammad Danish Mazlan Abdullah (m-68).

UiTM Perak labuh tirai kejuaraan Perak Football Varsity Challenge kedua terbaik.

UiTM Perak labuh tirai kejuaraan Perak Football Varsity Challenge kedua terbaik.

UPSI terus meningkatkan tekanan sehingga memaksa tuan rumah lebih banyak bertahan, sebelum Danish Mazlan muncul wira apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-84 untuk melengkapkan kebangkitan dramatik pasukannya.

Sementara itu, Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengesahkan tempat ketiga selepas membelasah UniKL-RCMP 8-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga.

Kejayaan itu membolehkan UPSI membawa pulang Piala Pusingan, iaitu Piala Pengerusi Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah serta wang kemenangan RM4,000. UiTM Cawangan Perak menerima RM2,000, manakala UTP membawa pulang RM1,500.

UPSI turut menguasai dua anugerah individu apabila Muhammad Iman Nazihin Zamzuri dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan lima gol, manakala Muhammad Iskandar Aznan meraih gelaran Pemain Paling Bernilai.

Sementara itu, Rektor UiTM Cawangan Perak, Profesor Madya Dr Nur Hisham Ibrahim merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Perak menerusi Khairudin atas sokongan dan tajaan penganjuran kejohanan serta penyediaan hadiah kemenangan.

Menurutnya, pihak penganjur komited untuk terus memartabatkan sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) negeri, selain menjadikan kejohanan berkenaan sebagai platform mencungkil dan membangunkan bakat atlet untuk mewakili universiti serta negeri.

Beliau turut berharap kejohanan itu dapat terus memperkukuh pembangunan bola sepak di peringkat universiti, di samping merapatkan hubungan dan memperluas kerjasama antara institusi pengajian tinggi.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Khairudin.

Scroll to Top