Deepavali jadi wadah erat perpaduan – Anwar

Deepavali jadi wadah erat perpaduan – Anwar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu sambutan Deepavali menjadi wadah merapatkan jurang dan mempereratkan perpaduan antara kaum.

Beliau berkata, sambutan itu juga diharap mampu menyemai nilai ihsan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

Keadaan itu, katanya, wajar dicapai masyarakat majmuk berteraskan kepelbagaian budaya dan tradisi, nilai saling menghormati, memahami dan menerima perbezaan yang harus terus diperkukuh.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berharap sambutan Deepavali menyuntik semangat baharu untuk membina pemikiran lebih terbuka, murni dan progresif, sekali gus mengangkat martabat rakyat serta memperkukuh keharmonian negara.

“Deepavali hadir membawa sinar kegembiraan, menyemarakkan semangat ‘pesta cahaya’ yang melambangkan kemenangan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan menundukkan keburukan serta ilmu membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan keangkuhan.

“Selamat menyambut Hari Deepavali kepada seluruh masyarakat yang meraikannya.

“Semoga cahaya Deepavali terus menyinari kehidupan dengan kebahagiaan, kedamaian dan kesejahteraan,” kata Ahli Parlimen Tambun itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top