Kuala Lumpur: Hujan lebat berterusan selama kira-kira dua jam petang tadi mengakibatkan Kampung Melayu Subang kembali dilanda banjir kilat, selain Jambatan Jalan Jati yang merentasi Sungai Damansara ditutup susulan runtuhan tebing sungai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata insiden banjir kilat berpunca daripada limpahan sistem perparitan dan bukannya disebabkan oleh fenomena air pasang besar.
“Hujan lebat petang tadi telah menyebabkan sistem perparitan tidak dapat menampung jumlah air, namun keadaan air di kawasan terjejas kini dilaporkan semakin surut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor menerusi satu kenyataan berasingan memaklumkan Jambatan Jalan Jati di Seksyen U6, Kampung Melayu Subang ditutup kepada semua jenis kenderaan atas faktor keselamatan susulan hakisan teruk pada struktur penampan (abutment) jambatan.
Menurut JKR, insiden hakisan dan runtuhan tebing berlaku berikutan kenaikan paras air serta aliran deras Sungai Damansara susulan hujan lebat yang berterusan.
“Pelan Pengurusan Trafik telah dilaksanakan bagi mengawal pergerakan kenderaan dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif melalui Lorong Cempaka serta mematuhi papan tanda lencongan di lokasi,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan JKR Selangor akan melaksanakan kerja-kerja pembaikan sementara di kawasan terjejas dan tertakluk kepada tahap keselamatan tapak serta bekalan bahan daripada kuari memandangkan melibatkan tempoh cuti umum.
Bagi tindakan jangka panjang, jabatan itu memaklumkan permohonan peruntukan akan dikemukakan bagi melaksanakan kerja pembaikan kekal struktur abutment jambatan dan perlindungan tebing Sungai Damansara demi memastikan kestabilan jambatan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




