Senarai calon Top 10 ABPBH 38 diumum

Senarai calon Top 10 ABPBH 38 diumum

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Senarai pencalonan Top 10 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-38 bagi merebut 21 kategori dipertandingkan termasuk lima kategori dinaik taraf diumumkan, malam ini.

Antara yang tersenarai dalam Top 10 ABPBH 38 ialah Datin Sofia Jane, Ellie Suriaty, June Lojong, Namron, Que Haidar, Hasnul Rahmat dan Didie Alias.

Pencalonan berkenaan membuktikan kredibiliti dan bakat mereka kekal relevan untuk bersaing dengan artis generasi baharu dalam anugerah yang berasaskan undian peminat itu.

Sofia dan Ellie bersaing dalam kategori Aktres Pembantu Filem Popular, manakala kehebatan Namron serta Que Haidar menyaksikan mereka dicalonkan bagi kategori Aktor Pembantu Filem Popular.

Manakala, Hasnul pula terus memikat hati peminat apabila berjaya menembusi kategori Aktor Pembantu TV Popular, sementara Didie Alias tersenarai dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular.

ABPBH 38 turut menyaksikan pertembungan sengit antara pelakon gred A seperti Beto Kusyairy, Remy Ishak, Shaheizy Sam dan Syafiq Kyle bagi kategori Aktor Filem Popular, manakala Maya Karin, Nabila Huda, Scha Al-Yahya serta Mimi Lana menguasai saingan Aktres Filem Popular.

Saingan turut dirasai Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris yang tercalon dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, di samping Raja Azura dan Elly Mazlein merebut gelaran Pengacara TV Popular.

Kategori Penyanyi Wanita Popular menyaksikan saingan antara Aina Abdul, Ernie Zakri, Mimifly dan Shila Amzah, manakala Faizal Tahir, Hael Husaini, Hafiz Suip serta Hazama berentap untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular.

Bukan hanya itu, kelompok Top 10 kali ini turut menampilkan wajah-wajah baharu yang meningkat naik seperti Marsya Qistina, Thalita, Ammar Haikal, Ryenald Guntabid dan Zairi Aziz menerusi kategori artis baharu.

Membawa tema ‘Kitalah Bintang’, penganjuran ABPBH 38 ini mempertandingkan 21 kategori keseluruhan, termasuk lima kategori sampingan yang kini diangkat menjadi kategori utama.

Kategori yang dinaik taraf itu merangkumi Gandingan Serasi Drama Popular, Pempengaruh Popular, Atlet Popular, Lagu Paling Boom Popular dan Anugerah Daia Evolusi Gaya Bintang.

Kategori lain yang dipertandingkan seperti Artis Baharu Lelaki/Wanita Popular, Aktor/Aktres TV Popular, Penyampai Radio Popular, Artis Komedi Popular serta Artis Kolaborasi/Duo/Berkumpulan Popular.

Sesi undian bagi mencari pemenang Top 10 setiap kategori akan bermula pada 16 November hingga 6 Disember depan secara dalam talian menerusi portal rasmi ABPBH di www.abpbh.com.my.

Acara pengumuman senarai pencalonan ABPBH 38 berlangsung di Ombak Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Majlis dihadiri Pengerusi ABPBH 38 merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian Zulkifli Jalil, Ketua Pemasaran Daia Liew Tien Yee, Pengurus Besar Kanan Strategi Kandungan & Audiens TV3 dan TV9, Anida Mohd Tahrim serta Pengarah Projek ABPBH 38 merangkap Pengarang Kanan Berita Hiburan dan Projek BH, Shamshul Azree Shamsir.

Kemuncak Malam Anugerah ABPBH 38 dijadualkan berlangsung pada 12 Disember depan di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam dan disiarkan secara langsung di TV3 dan aplikasi Tonton bermula jam 9 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top