Dua pokok tumbang hempap teksi, kereta dan rumah di Seberang Perai

Dua pokok tumbang hempap teksi, kereta dan rumah di Seberang Perai

am@hmetro.com.my

Seberang Prai: Dua kejadian pokok tumbang berasingan di Kubang Semang dan Prai, di sini mengakibatkan masing-masing dua kenderaan dan premis mengalami kerosakan, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di Prai pada jam 6.01 petang.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dengan bantuan anggota BBP Bandar Perda dikejarkan ke lokasi kejadian di Desa Sutera Square, Jalan Sutera 3.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah teksi jenis Proton Saga serta merosakkan sebahagian kecil bumbung kedai berhampiran.

“Pemandu teksi berusia lingkungan 50-an bagaimanapun terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba bersama pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan bagi mengalihkan batang serta dahan pokok yang tumbang,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat pada jam 7.57 malam selepas kawasan berkenaan disahkan selamat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Dalam satu lagi kejadian, John berkata, anggota dari BBP Penanti dikejarkan ke Mengkuang Titi, Kubang Semang selepas sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Bezza serta sebahagian rumah.

“Pemilik kereta berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengalihkan pokok sebelum menyerahkan semula kawasan kejadian kepada pemilik rumah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top