PRN Melaka: Abdul Hakim fokus temui pengundi berbanding fikir 'rating'

PRN Melaka: Abdul Hakim fokus temui pengundi berbanding fikir 'rating'

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid enggan terlalu memikirkan ‘rating’ sebaliknya mahu memberi tumpuan menemui seramai mungkin pengundi menjelang pengundian pada 14 November ini

Abdul Hakim berkata, memasuki hari kelapan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau sudah mengunjungi banyak lokasi di sekitar di Lendu termasuk ke beberapa taman perumahan.

“Saya beranggapan masih 50-50 (peluang kemenangan) sebab saya tak nak jadi terlalu yakin kerana pesaing juga tentu ada penyokong sendiri.

“Jadi saya lebih fokus, saya tak tengok pun ‘rating’. Lebih baik saya fokus bertemu dengan seberapa ramai pengundi dan akhirnya pengundi bijak buat pilihan,” katanya ketika ditemui pada sesi walkabout di sekitar Jalan Sekolah Ghafar Baba di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas ADUN Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah dan Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie.

Mengulas perkara yang dibangkitkan penduduk sepanjang kempen, Abdul Hakim berkata, antaranya ialah isu banjir dan longkang.

“Saya bahagikan Lendu kepada tiga zon, iaitu taman perumahan, kampung tradisi dan Pekan Masjid Tanah.

“Jadi semuanya ada kategori ataupun masalah yang berbeza,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas nasihat dan pandangan daripada kepimpinan, yang membantu beliau dan jentera menggerakkan kempen.

“Saya sangat bersyukur kerana kepimpinan termasuk penyandang Datuk Seri Utama (Sulaiman) memberikan nasihat dan pandangan serta tunjuk ajar yang cukup berguna untuk saya dan rakan-rakan jentera ini supaya bergerak sehabis dan bersemangat,” katanya.

Beliau turut menyambut baik bantuan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen dan menyifatkan persefahaman antara BN dengan PN memberi kesan positif.

“Kita tidak boleh menafikan kerana apabila terbentuk saja persefahaman itu, maka kedua-dua ini juga memberikan satu impak yang saya rasa sangat positif,” katanya.

Mengulas manifesto BN, Abdul Hakim berkata, tawaran kepada golongan muda dan masyarakat daripada pelbagai peringkat turut relevan kepada penduduk Lendu.

“Manifesto itu kita tidak boleh tengok satu perkataan atau tulisan yang cantik di atas kertas saja kerana apa pun itu adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan jika BN diberi mandat nanti,” katanya.

DUN Lendu menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN dengan BERSATU pada PRN Melaka.

BN mempertaruhkan muka baharu, Abdul Hakim, manakala BERSATU diwakili Nazri Ramli.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top