am@hmetro.com.my
Melaka: PKR mengingatkan semua calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak bersikap ‘besar kepala’ atau berasa memiliki kelebihan hanya kerana mereka mewakili parti pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, sebaliknya parti itu mahu menyemarakkan proses demokrasi di Melaka dengan penuh rasa rendah diri, termasuk mencuba nasib sebagai pasukan ‘underdog’.
Namun, Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi mengakui kedudukan PKR sebagai parti pimpinan Perdana Menteri turut mewujudkan tekanan tersendiri untuk meraih kemenangan dan memperoleh kerusi di Melaka.
“Tekanan itu sentiasa ada. Tapi kita ubah tekanan terbabit sebagai satu cabaran. Kalau kita fikir jangka masa panjang, kita fikir dengan strategi yang lebih atau pendekatan kepada pilihan raya kali ini, boleh membantu kita berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
“Orang lain mungkin kata, ini parti Perdana Menteri…ini parti menteri ramai dan ini parti yang mengawal pentadbiran negara…tapi kita tidak masuk dengan cara yang sedemikian.
“Janganlah mentang-mentang Pakatan Harapan (PH) ini ada Perdana Menteri dan sudah jadi kerajaan, kita anggap kita berbeza. Sama sahaja…kita sentiasa peka, kita tidak bongkak,” katanya pada sesi podcast Bicara PRN Melaka ke-16, di sini.
Secara keseluruhan, PH iaitu gabungan ditunjangi PKR, mempertaruhkan sebanyak 24 calon pada PRN Melaka ke-16.
Selain PKR yang meletakkan 10 calon, dua parti komponen lain iaitu DAP dan AMANAH masing-masing meletakkan tujuh calon.
Pada masa sama, Adam Adli yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, pihaknya tidak mahu calon daripada PH berdepan simptom terlalu yakin kerana ia boleh menyebabkan risiko cuai.
Katanya, meskipun wujud ramalan bahawa aspek demografi pengundi itu tidak menyebelahi PH, namun pola pengundian di Melaka diyakini tidak akan hanya berdasarkan jangkaan atas kertas.
“Kita berusaha sehabis baik, buat masa sekarang kita nampak sinar di hujung terowong di beberapa kawasan yang kita tandingi ini ada nampak potensi.
“Cuma kita perlu pastikan tidak membuat kesilapan dan kita lipat gandakan usaha kita namun jika PH tidak melepasi sasaran yang kita tetapkan, ia tidak semestinya merugikan kerana kerja yang kita buat di PRN perlu diteruskan termasuk untuk PRU,” katanya.
Adam Adli berkata, walaupun menjadi parti dalam Kerajaan Perpaduan, PH tetap realistik dengan hanya meletakkan calon di 24 kerusi, bersandarkan kepada kekuatan jentera.
“Orang pandang PH seolah-olah macam sudah kaya sedangkan kekuatan kita masih sama seperti sebelum ini.
“Mungkin lebih ramai menyokong, namun ia tidak bererti kita boleh buat apa sahaja.
“Contohnya, hendak bertanding 28 kerusi pun tidak payah fikir panjang, tanding sahaja. Tidak, kerana kita ada kekuatan yang kita harus betul-betul ukur sebelum kita mengambil sesuatu keputusan,” katanya.
Sementara itu, Adam Adli mengakui kehadiran BERSAMA dalam persaingan PRN Melaka dengan meletakkan 16 calon memberi sedikit kesan kepada PH, namun menyifatkannya sebagai ‘tercuit, tetapi tidak terpukul’.
Beliau berkata, walaupun PKR tidak mahu memandang rendah terhadap kemampuan BERSAMA yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli, namun pada masa sama, yakin parti masih lagi kukuh untuk berdepan saingan berkenaan.
“Ada kesan, mana boleh tiada kesan. Kita tidak akan pandang rendah tapi cukuplah kita katakan bahawa PH masih lagi signifikan. Tercuitlah, takkan kita kata tidak tercuit namun tidaklah sampai terpukul,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




