nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diseludup masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram atau laluan laut didakwa membayar antara RM5,000 hingga RM15,000 kepada ejen atau sindiket.
Kadar bayaran itu berbeza mengikut kewarganegaraan, laluan kemasukan serta destinasi pekerjaan yang ditawarkan sindiket.
Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, berdasarkan risikan dan kes yang dikesan tahun ini, jumlah bayaran dikenakan bergantung kepada negara asal serta destinasi yang dituju.
“Berdasarkan kes yang dilaporkan pada tahun ini, terdapat PATI yang membayar sekitar RM5,000 hingga RM15,000 kepada ejen bagi menguruskan perjalanan mereka untuk masuk ke Malaysia.
“Jumlah itu bagaimanapun bukan kadar tetap kerana bayaran sebenar bergantung kepada laluan, destinasi dan perkhidmatan yang disediakan oleh sindiket,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Radzi berkata, sekurang-kurangnya tujuh pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok dikenal pasti menjadi laluan kemasukan PATI.
Antaranya termasuk Pangkalan Haram Azizah, Parking, Pak Antah, MCA, Kuala Senggeng, Kedap dan Perdah.
“Jumlah itu menunjukkan sindiket PATI tidak bergantung kepada satu laluan sahaja, sebaliknya menggunakan beberapa pangkalan haram secara serentak untuk mengaburi pihak berkuasa.
“Apabila satu pangkalan diperketatkan kawalan, dipantau atau diserbu, sindiket segera beralih ke laluan alternatif lain seperti lorong tikus, kawasan kebun, laluan kampung dan pesisir sungai,” katanya.
Beliau berkata, antara cabaran utama dalam menangani kegiatan penyeludupan PATI ialah bentuk muka bumi sempadan yang luas dan kompleks, selain Sungai Golok yang panjang serta terbuka.
Katanya, keadaan itu turut menyukarkan pemantauan berikutan terdapat sungai kecil, kawasan hutan, lorong tikus dan banyak laluan tidak sah di sepanjang sempadan.
Malah, katanya, di sepanjang sempadan Kelantan sahaja terdapat ratusan pangkalan haram dan laluan alternatif yang perlu dipantau pihak berkuasa.
“Cabaran lain adalah modus operandi sindiket yang sentiasa berubah. Apabila satu laluan diperketatkan, mereka akan mencari laluan baharu, termasuk laluan laut dan sungai kecil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




