Kerjasama BN-PAS tidak ancam hak, kepentingan kaum bukan Melayu – KJ

Kerjasama BN-PAS tidak ancam hak, kepentingan kaum bukan Melayu – KJ

am@hmetro.com.my

Tangga Batu: Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak akan menjejaskan hak serta kepentingan masyarakat bukan Melayu berdasarkan pengalaman kedua-dua parti itu yang pernah bekerjasama dalam kerajaan sebelum ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sendiri tidak pernah menyaksikan keadaan yang menyebabkan parti komponen BN iaitu MCA dan MIC berasa tidak senang dengan kehadiran atau pandangan menteri daripada PAS ketika berada dalam kerajaan terdahulu.

Menurutnya, perbezaan pandangan antara parti adalah perkara biasa namun ia boleh dikendalikan secara harmoni tanpa mengancam kepentingan mana-mana kaum.

“Saya sebagai saksi hidup yang pernah bekerjasama dengan PAS di peringkat Persekutuan… saya pun tidak ada masalah.

“PAS ada pandangan dia, MCA ada pandangan dia, UMNO sudah pasti ada pandangan kita… tetapi tidak sampai tahap mengancam hak dan kepentingan mana-mana kaum,” katanya ketika ditemui pada program Sembang Anak Muda di Kampung Batang Tiga, Bukit Rambai di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon; Ketua Pemuda MCA Negeri Sembilan, Siow Kong Choon; Ketua Pemuda PASA Tangga Batu, Mohamad Anuar Ibrahim dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong.

Dalam pada itu Khairy menambah, kemenangan calon BN di beberapa kawasan DUN yang mempunyai komposisi majoriti kaum Cina turut membuktikan pengundi dari kelompok itu masih setia memberikan sokongan kepada calon daripada gabungan berkenaan.

Beliau mengambil contoh kemenangan calon MCA pada siri pilihan raya sebelum ini di tiga kerusi DUN majoriti Cina iaitu di DUN Yong Peng menerusi kemenangan Ling Tian Soon, DUN Chennah (Siow Kong Choon) dan DUN Jementah (See Ann Giap) sebagai bukti sokongan pengundi Cina terhadap gabungan itu.

Akuinya perkembangan itu menunjukkan penerimaan pengundi bukan Melayu terhadap calon BN tidak semestinya terjejas hanya kerana kerjasama politik dengan PAS.

“Saya datang berkempen di Melaka kerana tidak mahu kita (BN) hanya menang undi kaum Melayu sahaja.

“Kita kena menang undi daripada kaum Melayu, kita kena menang undi daripada kaum Cina dan juga kita kena menang undi daripada kaum India serta bangsa-bangsa lain,” tegasnya.

Khairy turut yakin momentum sokongan terhadap BN mampu diterjemahkan menerusi gerakan ‘gelombang biru’ berdasarkan sambutan diterima sepanjang siri jelajah kempennya.

Melaka adalah negeri ketiga dikunjungi Khairy selepas Johor dan Negeri Sembilan, dengan DUN Klebang menjadi lokasi ketujuh persinggahan kempennya sepanjang dua hari berada di bandaraya bersejarah itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top