Tiga kru selamat selepas helikopter terhempas

Tiga kru selamat selepas helikopter terhempas

JAKARTA – Tiga kru terselamat selepas sebuah helikopter yang digunakan dalam operasi memadam kebakaran dari udara terhempas di Sungai Barito di wilayah Kalimantan Selatan, Indonesia pada Ahad.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Bencana Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Berton Panjaitan berkata helikopter jenis Eurocopter EC225LP Super Puma itu terhempas ketika menjalankan operasi pengeboman air bagi memadam kebakaran hutan dan tanah.

Beliau berkata rakaman video amatur menunjukkan helikopter itu dipercayai hilang kawalan ketika melakukan manuver selepas mengambil air dari sungai menggunakan Bambi Bucket, iaitu peralatan yang digunakan untuk operasi pemadaman kebakaran dari udara.

“Ketiga-tiga kru berjaya dipindahkan ke tempat selamat, manakala helikopter itu telah dialihkan ke tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Berton mengenal pasti kru terbabit sebagai warga Australia Michael John Betteridge, warga New Zealand Hugh Andrew John Page dan warga Indonesia, Yayan.

Helikopter dengan nombor pendaftaran VH-HGM dan nombor siri 2878 itu milik pihak swasta yang mendapatkan kontrak daripada BNPB untuk membantu operasi pemadaman kebakaran dari udara.

Berton berkata pihaknya sedang menyediakan laporan lengkap berhubung kejadian itu, termasuk punca sebenar nahas, untuk diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan dan dimaklumkan kepada orang ramai.

Kejadian pada Ahad itu berlaku empat hari selepas sebuah helikopter Mi-17V5 milik Tentera Darat Indonesia terhempas ketika menjalankan operasi pengeboman air di Kabupaten Seruyan, Kalimantan Tengah pada 4 Nov, mengorbankan tiga kru dan lima yang lain cedera. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top