Stor terbakar di Sepang bukan bawah kawalan KTMB

Stor terbakar di Sepang bukan bawah kawalan KTMB

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan stor yang terbakar di Desa Pinggiran Putra, Sepang dekat Selangor, bukan di bawah kawalan atau tanggungjawab syarikat itu.

KTMB berkata, stor menempatkan aset dan pengurusan keselamatan itu sebaliknya berada di bawah pengurusan dan tanggungjawab kontraktor X-Rail Systems.

“Kontraktor X-Rail Systems adalah pelaksana Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang (KVDT) di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Pengangkutan (MoT).

“KTMB berharap orang ramai dan laporan media dapat memperbetul maklumat berhubung pemilikan dan pengurusan stor terbabit.

“Ini bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, stor peralatan dikatakan milik KTMB di Desa Pinggiran Putra, Sepang, musnah dalam kebakaran, pada jam 10.42 malam tadi.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati kebakaran membabitkan 10 kontena, enam ‘transformer’ serta beberapa tong gas.

Kebakaran turut membabitkan longgokan kabel dan enam tong diesel, manakala kerja pemadaman selesai pada jam 12.50 tengah malam tadi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top