am@hmetro.com.my
Alor Gajah: Barisan Nasional (BN) menawarkan 10 aku janji merangkumi pembangunan infrastruktur, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan dan peluang pekerjaan sekiranya calonnya, Datuk Ngwe Hee Sem, diberikan mandat sekali lagi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya
Antara tawaran utama ialah pembinaan klinik kesihatan baharu di Tebong, penyediaan lebih banyak rumah mampu milik, pembinaan jalan penghubung Lesung Batu-Parit Melana serta bantuan tambahan pendidikan tinggi kepada anak tempatan.
Aku janji dibentangkan Hee Sem bertemakan Melestarikan Machap Jaya – Demi Kemajuan Bersama dan Kesejahteraan Rakyat itu turut memberikan tumpuan kepada pemodenan kampung tersusun, pembangunan tanah perkuburan, pemerkasaan ekonomi setempat dan usaha menjadikan Machap Jaya sebagai kawasan pelancongan berasaskan budaya serta warisan.
Beliau berkata, bagi sektor kesihatan, BN berjanji memperjuangkan pembinaan klinik kesihatan baharu di Tebong, selain menaik taraf kemudahan klinik sedia ada bagi memperluas akses penduduk kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih selesa dan berkualiti.
Sementara dalam aspek perumahan pula, Hee Sem menawarkan usaha memperbanyakkan rumah mampu milik dengan memberi keutamaan kepada penduduk tempatan, khususnya keluarga muda dan golongan berpendapatan rendah serta sederhana.
“Bagi meningkatkan jaringan perhubungan, beliau turut menggariskan cadangan pembinaan jalan penghubung Lesung Batu-Parit Melana bagi memendekkan masa perjalanan ke Bandar Melaka dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Alor Gajah,” katanya.
Hee Sem berkata, beliau yakin mampu merealisasikan tawaran berkenaan berdasarkan rekod pencapaiannya sepanjang lima tahun lalu, dengan kira-kira 80 peratus manifesto terdahulu sudah berjaya dilaksanakan.
Malah, katanya, beberapa projek pembangunan yang tidak terkandung dalam manifesto sebelum ini turut diusahakan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Pencapaian (manifesto lalu) sekitar 80 peratus saya sudah selesaikan termasuk pembangunan yang tidak terdapat dalam manifesto pada PRN lalu, antaranya pembinaan sebuah dewan yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap hujung bulan ini,” katanya.
Mengulas usaha merancakkan ekonomi setempat, Hee Sem berkata, pembangunan kawasan industri menjadi antara perkara yang mahu diberikan perhatian sekiranya beliau sekali lagi mendapat mandat daripada pengundi.
Beliau berkata, cadangan pembangunan kawasan industri di Machap Jaya sebelum ini tidak dapat direalisasikan berikutan perancangan kerajaan untuk menumpukan kawasan industri sederhana dan berat di Masjid Tanah.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu tidak mematahkan hasratnya untuk memperjuangkan pembangunan kawasan industri bersesuaian di Machap Jaya, khususnya bagi menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Saya pernah berbincang dengan kerajaan, tetapi kerajaan mahu menumpukan kawasan industri sederhana dan besar di Masjid Tanah, jadi saya tidak dapat mewujudkannya di sini.
“Namun, dalam tempoh lima tahun akan datang, saya berharap mempunyai lebih banyak masa untuk berbincang, jika kalau tidak dapat kawasan industri besar, sekurang-kurangnya dapat industri kecil yang boleh menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.
Hee Sem berkata, pengalaman berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum ini membolehkannya memahami keperluan sebenar masyarakat Machap Jaya, termasuk kemudahan pendidikan agama, pembangunan ekonomi dan penyediaan kawasan industri.
Katanya, beliau sentiasa turun padang sepanjang lima tahun lalu bagi mengenal pasti permasalahan penduduk serta merancang pembangunan yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Dalam lima tahun ini saya sentiasa turun padang dan saya dapat tahu apa yang rakyat Machap Jaya mahukan, termasuk sekolah agama dan kawasan industri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




