Tujuh tahun derita, Arfan pergi selamanya…

Tujuh tahun derita, Arfan pergi selamanya…

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Selepas tujuh tahun menanggung derita akibat penyakit saraf dikenali Adrenoleukodystrophy X-Linked, Ahmad Arfan Farhat Mohd Basir atau nama manjanya Arfan meninggal dunia, hari ini.

Bapanya, Mohd Basir Mohd Nor, 44, berkata, Arfan yang berusia 16 tahun menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 3.15 pagi tadi.

Menurut Mohd Basir, jenazah anaknya sudah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Duyung Besar, di sini selepas Zuhur tadi.

“Anak saya meninggal dunia di rumah dan sebelum itu, isteri sempat memberinya minum susu.

“Kemudian, isteri ke dapur sebentar untuk mengambil ubat. Sebaik datang semula, anak sudah tidak bernyawa,” katanya kepada Harian Metro.

Mohd Basir berkata, sebagai bapa, dia tentunya sedih dengan pemergian anak sulungnya itu.

Bagaimanapun, dia dan isteri, Aizan Md Shah, 44, reda kerana sudah lama anaknya menanggung derita itu.

“Ikutkan, saya sedih kerana belum dapat mencari penawar untuk kesembuhan Arfan tapi Allah SWT lebih menyayanginya.

“Kini, Arfan sudah tak sakit lagi dan semoga Allah SWT tempatkannya di dalam syurga.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang membantu meringankan beban kami sekeluarga. Hanya Allah SWT saja dapat membalasnya,” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kisah penderitaan Arfan yang bukan hanya terlantar seperti bayi malah tidak dapat melihat kerana penyakit dihidapi.

Lebih menyedihkan apabila Ahmad Arfan Farhat yang dilahirkan normal tidak dapat ke sekolah selepas lima bulan menghidap penyakit berkenaan kerana tahap kesihatannya yang merosot.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top