Fitri sambut anak selepas 16 tahun

Fitri sambut anak selepas 16 tahun

fatin.farhana@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kali terakhir menyambut bayi kira-kira 16 tahun lalu, penyanyi, Fitri Haris bersyukur isterinya, Fazilah Omar selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah hospital pakar di Bangi, Selangor, pada jam 9.07 pagi tadi.

Fitri, 36, berkata, Fazilah yang juga pengurusnya, terpaksa menjalani pembedahan dan melahirkan anak lebih awal berikut menghidap asma yang teruk.

“Alhamdulillah, isteri selamat melahirkan anak kami secara pembedahan. Jika mengikut tarikh sebenar, isteri dijadual bersalin pada 15 Julai depan.

“Namun, berikutan menghidap asma yang teruk, isteri dimasukkan ke wad sejak tiga hari lalu. Melihat keadaannya, doktor mencadangkan agar pembedahan dilakukan.

“Ketika ini, isteri sedang berehat manakala bayi mengalami masalah pernafasan. Namun, jururawat beritahu itu perkara biasa bagi bayi yang lahir secara pembedahan. Doktor sedang memantau kerana degupan jantungnya laju,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Fitri mengumumkan kelahiran anak kedua di Instagram (IG). Fitri turut menyatakan anaknya dimasukkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan memohon peminat mendoakan permata hatinya itu.

Fitri yang menjuarai musim kedua Gema Gegar Vaganza (GGV) mengaku teruja menyambut kelahiran puteranya itu seolah-olah cahaya mata sulung.

Fitri dan isteri belum memilih nama sesuai untuk bayi berkenaan.

“Kami belum ada nama untuk bayi ini. Insya-Allah, apabila sudah ada nama, saya akan kongsi. Diharap semua orang mendoakan isteri dan anak kami,” katanya.

Disember tahun lalu, Fitri yang juga bekas anggota UNIC mengumumkan berkahwin dengan Fazilah atau mesra disapa El.

Fitri pernah tiga kali menduda dan mempunyai seorang cahaya mata, Sofea Soleha, 16, yang menetap bersama bekas isterinya di Singapura.

Fazilah juga pernah mendirikan rumah tangga dan dikurniakan anak lelaki, Qhalish Rayyan Adam, 10.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top