Los Angeles: Kepulangan Lamine Yamal nyata membawa tuah apabila bintang muda itu membantu Sepanyol kembali ke landasan kemenangan dengan membelasah Arab Saudi 4-0 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026, hari ini.
Pemain berusia 18 tahun itu membuka jaringan seawal minit ke-10 di Stadium Atlanta untuk meletakkan juara Eropah itu di landasan tepat selepas dikejutkan dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Cape Verde dalam aksi pembukaan.
Kehadiran semula Yamal yang membuat penampilan pertama selepas berehat dua bulan akibat kecederaan hamstring menyuntik ketajaman dalam jentera serangan La Roja.
Pemain muda itu menyudahkan hantaran rendah Mikel Oyarzabal sebelum penyerang Real Sociedad itu meledak dua gol dalam tempoh tiga minit bagi membolehkan Sepanyol mendahului 3-0 seawal minit ke-24.
Sepanyol menambah jaringan keempat pada minit ke-49 apabila percubaan Marc Cucurella ditepis penjaga gol Arab Saudi, Mohammed Al-Owais, namun bola terkena pertahanan Hassan Al-Tambakti sebelum menerjah gawang sendiri.
Kemenangan itu meletakkan skuad kendalian Luis de la Fuente di tangga teratas Kumpulan H dengan empat mata daripada dua perlawanan.
Cape Verde berpeluang menyamai kutipan mata Sepanyol apabila menentang Uruguay di Miami, dengan jurulatih Pedro Leitao Brito atau lebih dikenali sebagai Bubista berjanji pasukannya akan bermain tanpa rasa takut.
“Kami tidak datang sekadar untuk melengkapkan jadual. Kami mahu beraksi dalam semua perlawanan dan membuktikan kami mampu mencabar pasukan terbaik dunia.
“Matlamat kami adalah bermain dengan berani, tersusun dan tanpa rasa gentar,” katanya.
Penjaga gol berusia 40 tahun, Vozinha yang menjadi wira Cape Verde ketika mengikat Sepanyol tanpa jaringan, bakal menerima sokongan istimewa apabila ibunya, Ana Candida Evora, berjaya tiba di Miami selepas memperoleh visa Amerika Syarikat.
Sebelum ini, Vozinha meluahkan kesedihan kerana ibunya gagal mendapatkan visa tepat pada waktunya untuk menyaksikan aksi pembukaan, namun masalah itu akhirnya diselesaikan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat.
Sementara itu, Belgium sekali lagi tidak dapat menurunkan Jeremy Doku yang masih mengalami masalah pernafasan ketika menentang Iran.
Tanpa kelibat pemain sayap itu, Belgium sekadar seri dalam aksi pembukaan menentang Mesir.
Dalam perkembangan lain, jurulatih Iran, Amir Ghalenoei berkata, sekatan perjalanan yang dikenakan ke atas pasukannya dijangka dilonggarkan menjelang aksi ketiga menentang Mesir di Seattle pada 26 Jun ini, namun mengakui situasi berkenaan memberi kesan terhadap prestasi pasukannya di atas padang.
© New Straits Times Press (M) Bhd



