am@hmetro.com.my
Muar: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia menggunakan logo partinya sendiri sekiranya tidak mendapat kebenaran menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PN yang diadakan esok di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Pagoh itu, berkata, ketetapan itu diputuskan secara konsensus dalam mesyuarat terbabit sama ada diberi kebenaran menggunakan logo PN atau sebaliknya.
“Ramai bertanyakan pada saya apa logo yang nak pakai? Kita akan pakai logo PN tetapi bagaimana nak guna kalau Pengerusi PN (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) tak nak sign (tandatangan) ?
“PN (logo) kena ada watikah. Jadi kita tunggu keputusan esok sama,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Jentera PRN BERSATU Johor di Bakri di sini, malam ini.
Hadir sama, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, Setiausaha Agung Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi BERSATU Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin berkata, BERSATU tidak berniat meninggalkan gabungan itu dan akan terus memainkan peranannya dalam PN meskipun timbul spekulasi mengenai masa depan hubungannya dengan PAS susulan memutuskan hubungan dengannya.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, BERSATU mempunyai ramai calon untuk diketengahkan dan parti perlu bertanding banyak kerusi supaya dapat menubuhkan kerajaan jika menang PRN Johor kali ini.
“Kalau 10 kerusi tidak cukup untuk jadi kerajaan, perlu ada 28 campur satu kerusi baru boleh jadi (bentuk) kerajaan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



