LONDON: Harry Maguire memberi ‘tabik hormat’ kepada Jordan Pickford yang mampu mempertahankan gawang gol England ketika Three Lions menempah tiket ke suku akhir Euro 2020 dengan menewaskan Jerman 2-0 di Wembley.
Prestasi Pickford kurang memberangsangkan sejak 12 bulan lalu selepas melakukan beberapa siri kesilapan yang secara tidak langsung menyebabkan terdapat gesaan supaya dia dikeluarkan daripada skuad kendalian Gareth Southgate.
Namun, penjaga gol nombor satu Everton berusia 27 tahun itu berjaya mematahkan kritikan dilemparkan terhadapnya dengan menafikan dua percubaan gol daripada Jerman.
Pemain terbaik perlawanan, Maguire berkata: “Kami mempunyai seorang penjaga gol yang hebat di belakang kami, seorang yang pastinya mempamerkan persembahan hebat apabila menyarung jersi England.
“Kami juga mempunyai pemain yang hebat, tetapi ia bukan saja mengenai pertahanan ataupun penjaga gol kami, ia adalah satu unit.” katanya.
England mara ke suku akhir selepas tidak melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan.
Pickford dalam pada itu berterima kasih kepada 45,000 penonton yang menjadi tulang belakang kemenangan dimiliki Three Lions.
“Kami bermain empat perlawanan di Wembley dan atmosfera 45,000 penyokong pada hari ini sangat menakjubkan.
“Saya fikir, ia memberikan kami semangat untuk menyertai suku akhir Sabtu ini di Rom. Ia satu lagi peluang untuk kembali semula ke Wembley.” – AGENSI
© New Straits Times Press (M) Bhd




