EURO: Ukraine sedia bermain mati-matian

EURO: Ukraine sedia bermain mati-matian

LONDON: Bintang tenis Ukraine, Elina Svitolina menyatakan semangat juang pasukan bola sepak kebangsaan mereka sangat tinggi dan sanggup ‘mati di padang’, sebelum mengangkat ‘bendera putih’ dalam pertemuan di suku akhir Euro 2020 di Rom nanti.

Semalam, Ukraine mara ke pusingan lapan terbaik selepas menewaskan Sweden 2-1 dalam masa tambahan.

“Kami tidak mempunyai apa-apa yang merugikan, itu sudah pasti,” kata Svitolina selepas mara ke pusingan kedua Wimbledon dengan menewaskan pemain Belgium, Alison Van Uytvanck 6-3, 2-6, 6-3.

“Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menewaskan Sweden dan mengambil peluang yang dimiliki. Jadi, kami hanya perlu turun padang dan menunjukkan yang terbaik. Kami pasti akan melakukannya kerana kami adalah pasukan Ukraine.

“Kamu tahu, kami tidak pernah menyerah kalah. Kami akan ke sana dan berjuang sehingga detik akhir. Kami mati di padang dan kami akan melakukan yang terbaik.”

Sekiranya Svitolina memenangi perlawanan pusingan kedua, pilihan ketiga itu tampak pasti beraksi dalam jadual waktu yang sama dengan aksi pertembungan di Euro.

“Saya lebih suka bermain di Gelanggang Tengah dan kemudian Ukraine menewaskan England, itu satu senario ideal,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Svitolina paling tidak masih mempunyai minat terhadap Euro 2020, tidak seperti tunangnya dari Perancis, Gael Monfils dengan pasukan kebangsaan yang disokongnya tewas di tangan Switzerland. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top