Lelaki Palestin ditembak mati di Tebing Barat

Lelaki Palestin ditembak mati di Tebing Barat

RAMALLAH: Pihak berkuasa Palestin berkata, seorang lelaki ditembak mati di Tebing Barat semalam, dalam konfrontasi antara penduduk Palestin dan peneroka haram Yahudi.

Tentera Israel tidak mengesahkan kematian itu, tetapi berkata pihaknya menembak seorang suspek yang melempar objek mencurigakan yang kemudian meletup.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, Mohammad Fareed Hasan, yang berusia 20-an, terbunuh di kampungnya Qusra dekat bandar Nablus oleh tembakan Israel, sementara dua lagi cedera.

“Hasan berdiri di atas bumbung kediamannya ketika dia mati ditembak,” kata laporan di agensi berita Wafa.

Menurut Wafa, warga Palestin di Qusra menangkis serangan peneroka haram Israel di kampung itu.

Tentera Israel berkata, konfrontasi antara puluhan penduduk Palestin dan pendatang haram Israel meningkat di Qusra, selatan Nablus, di mana kedua-dua belah pihak saling melempar batu.

“Pasukan yang hadir di tempat kejadian bertindak untuk menyuraikan kedua-dua belah pihak daripada kawasan itu.

“Dalam kejadian itu, seorang lelaki dikenal pasti melemparkan objek mencurigakan yang meletup ke arah tentera, yang bertindak balas dengan melepaskan tembakan,” kata kenyataan itu.

Penempatan Yahudi di Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel sejak 1967, berkembang pesat dalam beberapa tahun terakhir.

Nablus menyaksikan ketegangan yang meningkat dalam beberapa hari kebelakangan ini kerana rakyat Palestin melakukan tunjuk perasaan terhadap pembinaan sebuah penempatan haram Yahudi berhampiran kampung Beita.

Pendatang haram Yahudi mengosongkan pos, yang dikenal sebagai Eviatar, pada Jumaat lalu selepas mencapai perjanjian dengan kerajaan gabungan baharu Israel. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top