LONDON: Crystal Palace mengumumkan bekas kapten Arsenal Patrick Vieira sebagai pengendali baharu kelab itu, menggantikan Roy Hodgson.
Vieira, yang memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris bersama The Gunners, berpengalaman mengendali New York City dan Nice sebelum ini.
Bekas pemain Perancis itu turut memenangi Piala Dunia dan Kejuaraan Eropah bersama negaranya, dan mengharungi karier cemerlang di England dengan Arsenal di bawah kendalian Arsene Wenger.
“Crystal Palace mengesahkan pelantikan Patrick Vieira sebagai pengendali baharu untuk tiga musim akan datang,” kata Palace dalam satu kenyataan.
The Eagles mengambil masa lama untuk mencari pengganti Hodgson yang pada Mei lalu mengumumkan akan meninggalkan kelab itu sebaik kontraknya tamat musim lalu.
“Saya amat teruja untuk kembali ke Liga Perdana Inggeris, dan menguruskan kelab bola sepak hebat ini, dan kita akan memulakan babak baharu bersama.
“Ia projek yang amat menarik bagi saya, selepas berbincang dengan pengerusi dan pengarah sukan kelab berkenaan cita-cita serta perancangan mereka, termasuk akademi.
“Kelab ini mempunyai asas yang kukuh selepas beberapa tahun di Liga Perdana, dan saya harap kami mampu maju setapak lagi,” kata Vieira. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




