Pengembara Britain lengkap vaksinasi Covid-19 tiba dari negara ‘amber’ tak perlu kuarantin

Pengembara Britain lengkap vaksinasi Covid-19 tiba dari negara ‘amber’ tak perlu kuarantin

Syarikat-syarikat penerbangan kini sedang bersedia untuk memeriksa status vaksin dalam penerbangan ke Britain buat pertama kalinya. (Gambar AP)

LONDON: Para pengembara lengkap vaksinasi yang tiba dari negara-negara dalam senarai “amber” Britain tidak perlu menjalani kuarantin bermula seawal-awalnya pada 19 Julai, lapor media semalam.

Keputusan ini dibuat ketika syarikat-syarikat penerbangan sedang bersedia untuk memeriksa status vaksin dalam penerbangan ke Britain buat pertama kalinya.

Menteri-menteri Britain akan bertemu minggu ini untuk menandatangani dasar yang membolehkan individu melakukan perjalanan ke destinasi “amber” tanpa perlu menjalani kuarantin sehingga 10 hari, lapor surat khabar The Times.

Pada masa ini, mereka yang tiba dari negara-negara “amber” masih perlu menjalani kuarantin.

Setiausaha Pengangkutan Grant Shapps akan mengumumkan perubahan peraturan ini esok, menurut The Sun, yang turut melaporkan pengembara perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum kembali ke Britain, dan sekali lagi ujian PCR pada hari kedua selepas ketibaan.

Ini susulan perancangan Perdana Menteri Britain Boris Johnson bagi langkah terakhir dalam melonggarkan sekatan di England, termasuk pemansuhan undang-undang berkenaan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, serta penamatan nasihat rasmi untuk bekerja dari rumah.

ABTA, badan industri di United Kingdom yang mewakili 4,300 jenama pengembaraan, menggesa kerajaan untuk menjayakan cadangan untuk melonggarkan peraturan kuarantin bagi penerima vaksin lengkap yang mengunjungi negara-negara dalam senarai “amber” seperti Sepanyol dan Perancis.

Setakat Isnin, 86.2% daripada orang dewasa di Britain telah menerima satu dos vaksin Covid-19, manakala 64.3% telah menerima dua dos.

Scroll to Top