Kebolehjangkitan harian tertinggi

Kebolehjangkitan harian tertinggi

latifah@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Negara mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 tertinggi hari ini, iaitu pada tahap 1.11, berdasarkan graf harian bagi tempoh sebulan, mulai 9 Jun lalu.

Trend peningkatan Rt melepasi kadar 1.00 direkodkan sejak 28 Jun lalu dengan kali terakhir kadar Rt berada di bawah 1.00 pada 27 Jun, iaitu 0.99.

Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di akaun Twitternya menunjukkan kadar Rt belum menunjukkan tanda penyusutan, semalam berada pada tahap 1.09, manakala kelmarin, 1.07.

“Kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 9 Julai 2021 untuk seluruh negara ialah 1.11,” katanya.

Turut dinyatakan kadar kebolehjangkitan mengikut negeri dan terdapat lima negeri yang nilai Rt melebihi daripada nilai kebangsaan.

Ini termasuk Putrajaya yang merekodkan 1.19, diikuti Perak (1.17), Selangor dan Kuala Lumpur (1.16) dan Kedah (1.13).

Sementara itu, antara negeri yang mencatatkan bacaan kurang daripada 1.0 ialah Pulau Pinang dan Johor iaitu 0.99, Kelantan (0.94), Wilayah Persekutuan Labuan (0.87) dan Sarawak (0.85).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu jumlah ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top