Aktiviti pengesanan di kawasan PKPD sekat penularan

Aktiviti pengesanan di kawasan PKPD sekat penularan

bhnews@bh.com.my

PUTRAJAYA: Aktiviti pengesanan yang giat dilaksanakan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu bagi mengawal dan menghentikan penularan jangkitan COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sepanjang dua minggu PKPD dilaksanakan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pengesanan, pencarian kes dan membuat ujian terhadap semua yang berada dalam kawasan dikenakan PKPD.

Sebaik dikenalpasti, mereka yang positif akan diasingkan dan dirawat mengikut kategori jangkitan dengan kategori empat dan lima akan dirawat di hospital.

Beliau berkata, melalui pengesanan itulah setiap kes terutama yang tidak mempunyai gejala dapat dikesan dan dirawat serta diasingkan daripada populasi yang tidak dijangkiti.

“Inkubasi virus adalah selama 14 hari tetapi varian baharu ini boleh sampai 21 hari. Dalam tempoh 14 hari kita boleh melihat aktiviti kesihatan awam iaitu saringan untuk mengesan mencari dan membuat ujian.

“Ujian ini yang akan menemukan kes termasuk kes tidak bergejala. Kes akan menunjukkan peningkatan sebelum ia turun kerana kita sudah asingkan kes positif dan merawatnya,” katanya pada sidang media khas berhubung langkah kesiapsiagaan dan strategi KKM menguruskan pandemik COVID-19 di Lembah Klang, malam tadi.

Dr Adham berkata, jika ujian pengesanan dan saringan tidak dilaksanakan, jangkitan dalam komuniti termasuk yang tidak bergejala tidak dapat dikesan, dan dikhuatiri boleh terus merebak serta tidak dapat dirawat.

Beliau berkata, sejak PKPD dikuatkuasakan di kebanyakan daerah di Selangor, pihaknya sudah melaksanakan banyak ujian saringan.

Katanya, pada 6 Julai saja sebanyak 25,005 ujian saringan dilaksanakan di Selangor dan bilangan itu meningkat pada 7 dan 8 Julai.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sudah membuat keputusan untuk melaksanakan proses vaksinasi di kawasan diisytiharkan PKPD di seluruh negara.

Beliau berkata, ia akan dilaksanakan selepas individu yang positif diasingkan daripada mereka yang tidak dijangkiti.

“Tempoh PKPD selalunya selama 14 hari. Vaksinasi perlu diberikan secepat mungkin selepas PKPD selesai.

“Mereka mungkin akan divaksin di kawasan masing-masing atau di pusat yang berhampiran dengan lokaliti itu,” katanya.

Akhir-akhir ini, pelaksanaan PKP dan PKPD menerima kecaman ramai pihak selepas dilihat tidak berkesan berikutan bilangan kes harian semakin meningkat termasuk melonjak sehingga 9,180 semalam.

Selangor terus menjadi penyumbang kes tertinggi iaitu sebanyak 4,400, diikuti Kuala Lumpur dengan 1,271 kes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top