zahrin@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Lebih separuh pekerja Malaysia ingin kekal bersama majikan dalam tempoh jangka masa panjang berdasarkan kepada pengurusan syarikat ketika pandemik COVID-19, demikian menurut tinjauan agensi pengambilan pekerja, Randstad.
Berdasarkan kaji selidik Separuh Pertama 2021 Randstad Workmonitor, 55 peratus daripada responden di negara ini ingin kekal bersama majikan sedia ada.
Katanya, angka yang direkodkan di Malaysia itu juga adalah yang tertinggi bagi rantau ini berbanding China (33 peratus), Hong Kong (34 peratus) dan Singapura (37 peratus).
Ketua Operasi Randstad Malaysia, Fahad Naeem, berkata ketika negara berusaha mengawal pandemik COVID-19, keselamatan dan kesejahteraan pekerja menjadi kerisauan utama semua pihak.
Beliau berkata, sepanjang pandemik melanda negara, banyak syarikat sudah melaksanakan protokol dan dasar tempat kerja yang ketat serta program libat urus bersama dan peningkatan kemahiran.
“Inisiatif ini memberi alasan kukuh kepada pekerja untuk terus bersama majikan menghadapi situasi yang tidak menentu.
“Majikan harus bersama dan menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan pekerja sepanjang tempoh sukar ini.
“Luangkan masa untuk berhubung dengan pekerja. Ia bukan semata-mata membabitkan soal pekerjaan.
“Majikan perlu berusaha memahami bagaimana pekerja menangani COVID-19 dan berikan sokongan yang diperlukan. Ia penting bagi memastikan kesejahteraan mental dan fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Fahad berkata, 37 peratus responden pula menyatakan mereka memerlukan sokongan bagi mencapai keseimbangan ketika bekerja dari rumah.
Beliau berkata, pekerja sukar untuk menjaga keseimbangan kerja dan kehidupan.
“Peningkatan semula kes pandemik COVID-19 membuktikan bahawa meminimumkan pergerakan dan fizikal sangat penting untuk menjaga keselamatan.
“Daripada menunggu kes berkurangan dan mendapat kebenaran kembali bekerja di pejabat, majikan harus menerapkan dasar jangka panjang sumber manusia.
“Ini bagi menyesuaikan diri dengan cara kerja yang baharu termasuk mengembangkan keseimbangan persekitaran kerja dalam kehidupan,” katanya.
Fahad berkata, bagi meningkatkan reputasi dan persepsi jenama majikan, organisasi boleh mempertimbangkan penawaran elaun kerja dari rumah atau program latihan dalam talian untuk pekerja.
© New Straits Times Press (M) Bhd




