luqman.arif@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Perincian mengenai kelonggaran kepada rakyat yang sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Ia antara tiga keputusan yang dibuat dalam mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN), hari ini.
Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika mengumumkan perkembangan itu berkata mesyuarat turut bersetuju untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) kawalan pergerakan dalam PPN berdasarkan maklum balas tertentu.
“Antaranya hasil daripada pandangan yang disuarakan pakar berkaitan, selaras inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan usaha menyediakan SOP secara jelas dan tahap kepatuhannya.
“Selain itu, JKKPPN mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat yang sudah memberi vaksinasi penuh kepada pekerja untuk beroperasi sepenuhnya.
“Perincian mengenainya (berhubung tiga perkara yang dicapai dalam mesyuarat JKKPPN ini) akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




