Struktur komisen khas lonjak pendapatan bersih pemandu inDrive

Struktur komisen khas lonjak pendapatan bersih pemandu inDrive

zaky@bh.com.my

Kuala Lumpur: Langkah platform e-hailing inDrive memperkenalkan struktur komisen serendah satu peratus di Lembah Klang dilihat memberi impak positif kepada pendapatan pemandu apabila jumlah perjalanan meningkat antara 25 hingga 30 peratus sejak dilaksanakan April lalu.

Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pelaksanaan sistem komisen khas itu bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan bersih pemandu, malah turut merangsang tahap pembabitan mereka di platform berkenaan.

Beliau berkata, inisiatif yang bermula pada April dan berakhir bulan lalu menunjukkan tindak balas memberangsangkan daripada komuniti pemandu, khususnya mereka yang bergantung kepada sektor e-hailing sebagai sumber pendapatan utama.

“Inilah pendekatan kami untuk menyokong komuniti pemandu InDrive. Dengan kadar komisen yang rendah, mereka dapat membawa pulang pendapatan bagi setiap perjalanan lebih tinggi,” katanya kepada BH.

Azlan berkata, dalam keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, kebimbangan utama pemandu kini bukan lagi tertumpu kepada jumlah pendapatan kasar, sebaliknya baki sebenar yang dibawa pulang selepas ditolak pelbagai kos operasi harian.

Katanya, tekanan kewangan yang dihadapi pemandu semakin ketara apabila mereka perlu menanggung kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan, servis berkala, insurans serta keperluan pematuhan kawal selia yang semakin meningkat.

“Walaupun jumlah perjalanan mungkin kekal agak stabil, pendapatan bersih pemandu semakin tertekan kerana semua kos ini bersifat terkumpul dan tidak dapat dielakkan.

“Turun naik harga bahan api pula terus menjadi tekanan paling segera terutama bagi pemandu sepenuh masa yang mencatat perbatuan harian tinggi,” katanya.

Beliau berkata, dalam landskap ekonomi semasa, platform e-hailing tidak lagi boleh hanya menyediakan akses kepada perjalanan semata-mata, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong kemampanan pendapatan pemandu.

Menurutnya, struktur komisen satu peratus yang diperkenalkan di Lembah Klang memberi kesan langsung kepada pendapatan bersih kerana ia mengurangkan salah satu komponen kos paling segera yang berada dalam kawalan pemandu.

“Sebagai contoh, bagi tambang RM20, pemandu di bawah struktur komisen konvensional mungkin hanya membawa pulang sekitar RM16 hingga RM17. Namun menerusi komisen satu peratus, mereka boleh menerima kira-kira RM19.80 bagi perjalanan sama. Perbezaannya mungkin kecil bagi satu perjalanan, tetapi menjadi signifikan apabila dikumpulkan sepanjang hari,” katanya.

Azlan berkata, bagi pemandu yang melengkapkan antara 15 hingga 20 perjalanan sehari, peningkatan itu mampu memberi tambahan pendapatan yang bermakna setiap bulan.

inDrive ketika ini mempunyai lebih 40,000 pemandu di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top