Wanita gelang 'pink' baru pulang dari CAC – Polis

Wanita gelang 'pink' baru pulang dari CAC – Polis

bhnews@bh.com.my

PETALING JAYA: Gambar seorang wanita memakai gelang merah jambu membonceng motosikal yang tular di media sosial sebenarnya dalam perjalanan pulang dari Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) Shah Alam, Selangor.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata siasatan dilakukan selepas polis mengesan gambar wanita itu dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter jam 7.13 malam tadi.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku di Jalan PJU 8/1, Bandar Damansara Perdana ketika wanita berkenaan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bersama seorang lelaki.

“Siasatan awal mendapati, wanita itu menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah klinik di Kota Damansara kelmarin dan disahkan positif COVID-19.

“Lelaki yang menunggang motosikal bersama wanita itu turut disahkan positif COVID-19.

“Kedua-dua mereka ke CAC Shah Alam, kira-kira jam 4 petang semalam dan proses penilaian selesai dua jam kemudian. Imej wanita itu yang memakai gelang merah jambu dirakam orang awam ketika dia dalam perjalanan pulang dari CAC Shah Alam ke rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, wanita itu kini sedang menjalani kuarantin di rumah atas arahan dari CAC Kementerian Kesihatan (KKM).

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung imej yang ditularkan itu kerana ia boleh mengundang pelbagai isu yang tidak sihat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top