'Tak pakai pelitup muka, marah bila ditegur'

'Tak pakai pelitup muka, marah bila ditegur'

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menyiasat seorang lelaki memarahi penjual nasi lemak selepas dipercayai berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka di sebuah gerai nasi lemak di Jalan Desa Bakti di sini, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Saigoni, berkata satu laporan diterima polis daripada seorang wanita berusia 22 tahun yang juga anak penjual nasi lemak terbabit, pada jam 3.40 petang tadi berkaitan kejadian itu.

“Insiden kira-kira jam 10.30 pagi tadi tercetus semasa wanita itu dan ibunya menjual nasi lemak di hadapan Kedai Sepetang Jalan Desa Bakti, di sini dan dirakam seorang pelanggan.

“Video berdurasi 29 saat itu memaparkan seorang lelaki tempatan memarahi dan memaki hamun ibunya dan seorang pelanggan lain apabila ditegur tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Siasatan turut dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini kerana bimbang mewujudkan kegusaran masyarakat.

“Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini tampil memberi keterangan,” katanya.

Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top