Polis akan panggil petugas kesihatan, saksi suntikan 'picagari kosong'

Polis akan panggil petugas kesihatan, saksi suntikan 'picagari kosong'

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil petugas kesihatan dan saksi berkaitan untuk direkod keterangan berhubung dakwaan suntikan ‘picagari kosong’ di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata ketika ini, pihaknya giat menyiasat isu berkenaan daripada pelbagai sudut.

“Saya sahkan ada laporan diterima berkaitan dakwaan itu. Siasatan sedang berjalan dan individu berkaitan akan dipanggil untuk membantu siasatan,” katanya kepada BH, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya turut menerima laporan berkaitan dakwaan suntikan vaksin kosong di PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue.

“Maklumat lanjut isu itu akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Semalam, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dilaporkan menjalankan siasatan suntikan vaksin kosong didakwa berlaku di PPV MITEC dan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah pada Sabtu lalu, manakala PPV Pusat Konvensyen Bangi Avenue pada kelmarin.

CITF memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terbabit dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang jika mereka didapati bersalah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top