Kayuh basikal, jalan rumah ke rumah agih daging korban

Kayuh basikal, jalan rumah ke rumah agih daging korban

bhnews@bh.com.my

KUALA TERENGGANU: Sanggup mengayuh basikal sejauh kira-kira dua kilometer (km) dan berjalan dari rumah ke rumah untuk mengagihkan daging korban kepada golongan miskin.

Demikian inisiatif dilakukan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, dan Ketua Badan Pimpinan BERSATU negeri, Datuk Razali Idris, sempena Aidiladha, hari ini.

Di Hulu Terengganu, Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, mengayuh basikal untuk mengagihkan daging korban kepada penduduk miskin di beberapa perkampungan sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil.

“Pengagihan itu meliputi 70 penduduk miskin, termasuk warga emas, dengan masing-masing menerima 0.5kg daging korban,” katanya kepada pemberita selepas program menyantuni mereka.

Di Marang, Razali yang juga Ahli Dewan Negara pula berjalan dari rumah ke rumah untuk mengagihkan daging korban kepada 50 penduduk miskin, termasuk warga emas.

“Pengagihan dilakukan dengan berjalan saja kerana jarak antara kediaman penduduk terbabit adalah berdekatan, dan masing-masing menerima 1kg daging korban,” katanya ketika ditemui pada program itu di Kampung Gong Merawang.

Beliau berkata, keletihan terpaksa berjalan sejauh kira-kira 1km tidak terasa apabila melihat wajah penduduk yang ceria menerima daging korban.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top