TOKYO: Misi pasukan pilihan, Amerika Syarikat (AS) untuk memburu pingat emas kelima dalam acara bola sepak wanita Sukan Olimpik menerima tamparan apabila tumbang 0-3 kepada Sweden, hari ini.
Great Britain bagaimanapun bermula langkah kanan dengan menewaskan Chile 2-0.
AS memenangi empat daripada enam pingat emas sejak acara itu diperkenalkan pada 1996 tetapi tewas kepada pasukan yang menyingkirkan mereka menerusi penentuan penalti pada suku akhir di Rio 2016.
Stina Blackstenius meledak dua gol sebelum pemain gantian Lina Hurtig menambah gol ketiga buat pemenang pingat perak 2016 itu pada aksi tanpa penonton susulan COVID-19 di Stadium Tokyo.
Kekalahan itu juga menamatkan rekod 44 perlawanan tanpa kalah AS sejak awal 2019 dan kekalahan kedua mereka dalam tempoh 90 minit di Olimpik.
“Sweden salah satu pasukan terbaik dunia.
“Kami tak boleh membiarkan kekalahan ini terus menghantui kami. Kami ada perlawanan tiga hari lagi,” kata penyerang AS, Megan Rapinoe.
Di Sapporo, Britain memenangi aksi pembukaan Kumpulan E menerusi dua jaringan Ellen White sekali gus menjadi tonik buat skuad Hege Riise yang dalam misi muncul pasukan pertama British memenangi pingat Olimpik.
Sementara itu, bintang Brazil, Marta menunjukkan bisanya apabila menjaringkan dua gol ketika membelasah China 5-0 dalam saingan Kumpulan F. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd




