sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh lontar peluru negara, Jonah Chang Rigan menyasarkan hujung tahun ini sebagai masa terbaik untuk memecahkan rekod kebangsaan miliknya selepas mengakui belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali.
Jonah yang mewakili Universiti Malaya (UM) memenangi pingat emas lontar peluru lelaki Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026 dengan catatan 18.22 meter (m), sekali gus memecahkan rekod temasya sebanyak dua kali.
Dia terlebih dahulu melakukan lontaran 17.49m pada percubaan kedua untuk memadam rekod temasya 16.33m milik Adi Aliffuddin Hussin yang dicatat pada 2012 sebelum memperbaikinya kepada 18.22m pada percubaan ketiga.
Pingat perak menjadi milik wakil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nathaniel Majid dengan 14.79m, manakala atlet Universiti Putra Malaysia (UPM), Kamal Farhan Abd Rahman meraih gangsa menerusi 14.44m.
Jonah berkata, prestasi itu dianggap memuaskan memandangkan dia masih bergelut dengan kecederaan buku lali yang memaksanya berehat daripada melakukan lontaran selama kira-kira tiga minggu.
“Saya puas hati kerana dalam keadaan cedera ini, saya tidak menjangkakan sesuatu yang lebih. Tahun ini saya banyak mengekalkan jarak 18m dan itu perkara yang baik.
“Bila kita boleh mengekalkan jarak sama dalam banyak pertandingan, apabila tiba kejohanan besar, saya mungkin boleh melakukan yang terbaik dan mencipta rekod peribadi baharu,” katanya.
Menurutnya, Sukan Asia dan Sukan Universiti ASEAN (AUG) menjadi medan yang disasarkan untuk mencabar rekod kebangsaan 19.12m miliknya yang dicatat pada Kejohanan Memorial Qosanov XXXV di Shymkent, Kazakhstan, Julai lalu.
“Di Sukan Asia dan AUG ada peserta lebih besar serta persaingan lebih sengit. Jadi, pengalaman untuk bersaing juga lebih banyak dan suasananya berbeza berbanding SUKIPT,” katanya.
Bagaimanapun, Jonah menjangkakan kemuncak prestasinya lebih berkemungkinan dicapai pada AUG yang dijadual berlangsung hujung tahun ini berbanding Sukan Asia berikutan tempoh pemulihan kecederaan yang masih berbaki.
“Kalau ikut program dan ramalan saya, mungkin hujung tahun. Untuk Sukan Asia agak sukar kerana sudah dekat dan saya masih cedera. Mungkin AUG, itu akan menjadi kemuncak prestasi saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

