Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) terus memperkukuh ekosistem wakaf negara menerusi kerjasama strategik bersama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), termasuk menyediakan kemudahan potongan gaji sebagai saluran mudah dan konsisten kepada penjawat awam untuk berwakaf.
Kemudahan penjawan awam untuk berwaqaf
Perkara itu diketengahkan pada Majlis Penerimaan dan Penyerahan Dana Wakaf Tunai Malaysia yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Pada masa ini, jumlah pewakaf melalui potongan gaji masih sekitar 1% daripada keseluruhan penjawat awam Persekutuan, yang menunjukkan masih terdapat ruang yang sangat luas untuk kita tingkatkan penyertaan.
“Cuba bayangkan, jika 1 juta penjawat awam menyahut hasrat ini dengan berwakaf secara potongan gaji sebanyak RM10 sebulan melalui Skim Potongan Gaji YWM, sebanyak RM10 juta sebulan dana dapat dikumpulkan bersamaan RM120 juta setahun.
“InsyaAllah dalam tempoh 2 hingga 3 tahun, kita boleh bangunkan sebuah hospital wakaf.
“Saya yakin, dengan usaha dan galakan yang berterusan, InsyaAllah lebih ramai penjawat awam akan tampil menjadikan wakaf melalui potongan gaji sebagai satu amalan yang berterusan,” ujarnya.

Difahamkan, sehingga 31 Disember 2025, kutipan terkumpul menerusi kemudahan potongan gaji YWM telah mencecah RM21.29 juta melibatkan 10,963 pewakaf sejak kod berkenaan diluluskan oleh Jabatan Akauntan Negara pada 5 Januari 2009.
Bagi tahun 2025 sahaja, sebanyak RM1.15 juta telah dikumpulkan menerusi kemudahan tersebut hasil kerjasama dengan lapan MAIN iaitu Terengganu, Sabah, Johor, Kedah, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.
Galak lebih ramai penjawat awam Persekutuan berwakaf
Kerjasama itu turut diperluas apabila Wakaf Pulau Pinang bersetuju menggunakan kod potongan gaji YWM bagi menggalakkan lebih ramai penjawat awam Persekutuan di negeri berkenaan berwakaf secara konsisten.
YWM turut membuka ruang kepada MAIN lain untuk memanfaatkan kemudahan yang sama.
Dalam pada itu, sejumlah RM1,152,941.35 Dana Wakaf Tunai Malaysia telah diagihkan kepada lapan MAIN yang bekerjasama dengan YWM bagi tahun 2025.
Agihan tersebut melibatkan Majlis Ugama Islam Sabah sebanyak RM569,718.30, Majlis Agama Islam Negeri Johor (RM225,639.25), Majlis Agama Islam Negeri Kedah (RM116,269.55), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM84,583.25), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (RM78,997.25), Majlis Agama Islam Melaka (RM38,711.55), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (RM20,832.55) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (RM18,189.65).
Agihan itu mencerminkan komitmen YWM dalam memastikan dana wakaf yang dihimpunkan menerusi kerjasama bersama MAIN dapat disalurkan secara teratur bagi memperluas manfaat wakaf di peringkat negeri.

YB Senator Dr. Zulkifli menyatakan, potensi untuk memperluas penyertaan penjawat awam masih signifikan apabila jumlah pewakaf melalui potongan gaji ketika ini hanya sekitar satu peratus daripada keseluruhan penjawat awam Persekutuan.
Potensi tersebut dilihat mampu membuka ruang kepada pembangunan projek wakaf berskala besar dan berimpak tinggi untuk manfaat masyarakat.
Tidak terhad kepada pembangunan sosioekonomi, YWM turut memperluas manfaat wakaf dalam sektor pendidikan menerusi tajaan langganan Waqf Go Learning bernilai RM1.2 juta kepada enam MAIN bagi pelaksanaan Fasa 1.

Inisiatif itu melibatkan 600 pelajar asnaf dan B40 di Pulau Pinang, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Setiap negeri melibatkan 100 pelajar yang diberikan akses percuma kepada pembelajaran 10 subjek SPM selama empat bulan, dengan nilai tajaan RM200,000 bagi setiap MAIN.
Usaha tersebut mencerminkan pendekatan YWM dalam memperluas fungsi wakaf sebagai instrumen pembangunan modal insan dan pelaburan sosial jangka panjang, khususnya bagi meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti.

Majlis sama turut menyaksikan penerimaan wakaf tunai berjumlah RM1 juta daripada seorang individu kepada YWM.
Penerimaan itu mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap YWM sebagai saluran pengurusan harta dan pembinaan legasi yang mampu memberi manfaat secara berpanjangan.
YWM komited untuk terus memperkukuh kerjasama bersama MAIN, sektor korporat dan masyarakat dalam membangunkan ekosistem wakaf yang inklusif, progresif dan mampan, sekali gus memperluas peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan sosioekonomi negara.

