Kerajaan pertimbang penerima lengkap vaksin pulang bertemu keluarga

Kerajaan pertimbang penerima lengkap vaksin pulang bertemu keluarga

Kerajaan sedang memperhalusi cadangan supaya pasangan atau ibu bapa jarak jauh yang telah lengkap dua dos vaksin Covid-19 diberikan kelonggaran untuk bertemu keluarga masing-masing.

Menerusi kenyataan di laman Facebook, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mengambil kira komen pasangan atau ibu bapa jarak jauh yang terpisah dari anak-anak akibat larangan merentas negeri.

“Sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia. Walaupun atas faktor keselamatan…
“…ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibubapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin,” katanya.

Menurut Ismail, beliau sering berbincang isu berkenaan di dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar kelonggaran untuk bertemu ahli keluarga dapat dipertimbangkan.

“InsyaAllah, kerajaan sedang memperhalusi cadangan ini bagi membolehkan pasangan & keluarga jarak jauh disatukan semula,” ujarnya.

Beberapa hari lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran untuk individu yang lengkap dua dos suntikan vaksin akan dibincangkan dan diputuskan dalam masa terdekat.

Sumber: Facebook Ismail Sabri Yaakob

Scroll to Top