Polis terima 220 laporan pemerasan gambar, video bogel

Polis terima 220 laporan pemerasan gambar, video bogel

bhnews@bh.com.my

SHAH ALAM: Polis Selangor menerima 220 kes pemerasan dalam talian menyebarkan gambar bogel dan video lucah sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata daripada jumlah itu sebanyak 29 kes membabitkan kenalan kepada mangsa seperti bekas suami, bekas teman lelaki atau kenalan.

Beliau berkata, sebanyak 137 kes membabitkan individu yang tidak dikenali menghantar video bukan milik mangsa untuk mengganggu mangsa.

“Sejumlah 54 kes pula mangsa diperdaya iaitu anggota sindiket akan mencari kenalan melalui laman sosial sehingga memperdaya mangsa membuat aksi lucah ketika sedang ‘live’ tanpa mengetahui aksi mereka itu sebenarnya dirakam oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara aplikasi yang sering digunakan oleh sindiket ialah Wechat, Facebook, Michat, Whatsapp, laman web GODATE2NIGHT, Locanto.asia, Line, Skype, Mingle2, Tantan, Tinder, perkhidmatan urutan tradisional, aplikasi swag (pelaburan), Twitter, Telegram dan Bitcoin.

Arjunaidi berkata, modus operandi sindiket itu dengan memperdaya mangsa tidak kira lelaki atau wanita, usia dan bangsa bagi mendapatkan apa yang mereka mahukan.

“Mereka akan menggunakan semua aplikasi yang terbabit untuk berkomunikasi dengan mangsa berusia lingkungan 20 hingga 60-an.

“Mangsa akan diperdaya sehingga sanggup berbogel dan mengikut arahan yang diberikan anggota sindiket. Mereka kemudian merakam video dan gambar lucah mangsa,” katanya.

Katanya, selepas itu ahli sindiket akan mengugut mangsa dengan meminta sejumlah wang sehingga mendatangkan ketakutan kepada mangsa.

“Jumlah kerugian dialami mangsa antara RM3,000 hingga RM50,000 dengan suspek menggunakan akaun bank tempatan, termasuk luar negara bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top