KUALA LUMPUR: Golongan berusia lebih 50 tahun cenderung menjadi mangsa sindiket Macau Scam kerana kurang pendedahan terhadap maklumat dan perkembangan semasa berhubung kes seumpama itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din, berkata selain itu faktor kedudukan ekonomi golongan ini yang biasanya mempunyai aliran kewangan stabil, ada simpanan hari tua dan wang persaraan terkumpul menjadikan peratusan mereka sebagai mangsa adalah lebih tinggi.
“Amat menyedihkan apabila wang sepatutnya menjadi kegunaan menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Kamaruddin berkata, sepanjang 2019 sehingga bulan lalu, statistik menunjukkan jumlah tertinggi mangsa sindiket berkenaan adalah individu lingkungan umur 51 tahun ke atas seramai 1,621 orang atau 29.3 peratus daripada 5,535 mangsa direkodkan.
Beliau berkata, dapatan itu hasil analisis pihaknya berhubung kes penipuan Macau Scam yang berlaku di negara ini.
Katanya, mangsa berumur lingkungan 41 hingga 50 tahun pula merekodkan 17.8 peratus, 31 hingga 41 tahun (25.3 peratus), 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus), manakala mangsa di bawah 20 tahun adalah 1.5 peratus.
“Sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam dicatatkan jabatan ini membabitkan kerugian keseluruhan RM327,910,835.05.
“Pada 2019, sejumlah 2,466 kes dicatatkan dengan nilai kerugian RM121.85 juta; pada 2020 sebanyak 2,247 kes (RM172.7 juta), manakala dari tempoh Januari hingga bulan lalu, sebanyak 814 kes dilaporkan (RM33.3 juta),” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, komunikasi dalam kalangan keluarga perlu bagi menyalurkan maklumat dan perkembangan modus operandi penipuan sebegini.
Katanya, anak-anak yang mempunyai pendedahan langsung dengan maklumat di media sosial disaran berkongsi pengetahuan dengan ibu bapa supaya mereka prihatin dengan situasi semasa. – BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




