Kes Ketua UMNO Bayan Baru dipindah ke Butterworth

Kes Ketua UMNO Bayan Baru dipindah ke Butterworth

farahmarshita@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, membenarkan kes Ketua UMNO Bahagian Bayan Baru, Datuk Mansor Musa yang didakwa atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.

Keputusan itu selepas Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Asraf Mohamed Tahir, supaya kes dipindahkan ke Butterworth dengan alasan ia membabitkan dokumen dan saksi sama.

“Kes yang dihadapi tertuduh di mahkamah di sini adalah berkaitan dengan pertuduhan di Pulau Pinang.

“Memandangkan tiada bantahan daripada peguam, mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth,” katanya.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, yang mewakili tertuduh tidak membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 September ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.

Pada 15 Julai lalu, Mansor, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM9.22 juta.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ke-42, Mansor didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram antaranya menerima wang dalam bentuk tunai, menggunakan wang hasil daripada aktiviti haram untuk pembelian saham, rumah dan pembayaran kepada kontraktor melalui syarikat yang berbeza.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan ke-43 hingga ke-58 pula, tertuduh didakwa menerima, mengguna dan memindahkan wang daripada sebuah syarikat yang merupakan hasil aktiviti haram.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001), yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali hasil kegiatan haram atau RM5 juta, atau mana lebih tinggi.

Dia dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Public Bank cawangan Jalan Raja Chulan dan Starpac Point serta RHB Bank Berhad cawangan KLCC di sini antara Disember 2008 hingga Mei 2015.

Pada 12 Julai lalu, Mansor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas 106 pertuduhan rasuah bernilai lebih RM11 juta membabitkan kesalahan sama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top