bhnews@bh.com.my
GEORGETOWN: Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang menggesa polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen (MP) pembangkang yang berarak dari Dataran Merdeka ke Parlimen hari ini.
Pengerusinya, Mohd Sophian Mohd Zain, berkata ia berikutan tindakan mereka mengadakan perhimpunan itu dengan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal.
Kejadian itu juga boleh menimbulkan panik dalam kalangan masyarakat berikutan jangkitan varian delta yang boleh merebak dengan pantas.
“Seluruh rakyat diminta duduk di rumah, jaga jarak dan tidak hadir ke tempat sesak tetapi malangnya mereka (Ahli Parlimen) yang membawa rakyat ke jalanan.
“Jangat heret isu Parlimen ke jalanan, dengan mengatakan ‘kerajaan gagal’ tetapi sebenarnya menampakkan diri sendiri yang gagal.
“Hendak rebut balik kuasa sehingga sanggup melanggar SOP, ” katanya selepas membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, hari ini.
Pagi tadi, kalangan Ahli Parlimen Pembangkang berkumpul di Dataran Merdeka selepas laluan masuk ke Parlimen dikawal ketat pihak berkuasa.
Antara yang kelihatan ialah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution.
© New Straits Times Press (M) Bhd




