bhnews@bh.com.my
BATU PAHAT: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki disyaki konco sindiket penyeludupan rokok dan merampas 53 karton rokok seludup pelbagai jenama tanpa cukai kastam, wang tunai serta seunit telefon bimbit keseluruhannya bernilai lebih RM14,000 semalam.
Lelaki berusia 19 tahun itu ditahan di Taman Perindustrian Parit Sulong, dekat sini, oleh sepasukan anggota Batalion 5 PGA Simpang Renggam ketika melakukan Op Kontraban pada jam 11 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata suspek juga menjadikan premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan dan menjual rokok tidak bercukai.
Katanya, suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran rokok seludup ke kedai runcit tidak berlesen di sekitar kawasan Parit Sulong.
“Selain 53 karton rokok seludup pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam, turut dirampas wang tunai berjumlah RM540 dan satu unit telefon bimbit dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan adalah RM14,006,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan semua barangan itu dirampas mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
Katanya, polis meminta kerjasama orang awam terus menyalurkan maklumat bagi mengekang lambakan barangan kontraban dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
© New Straits Times Press (M) Bhd

