IMT-GT rangka pelan pasca COVID-19

IMT-GT rangka pelan pasca COVID-19

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) kali ke-27 yang berlangsung secara dalam talian hari ini, merangka pelan pasca COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelan itu akan dilaksanakan melalui Rangka Tindakan Pelaksanaan (IB) 2022-2026 yang memberi tumpuan lima perkara.

“Yang pertama, membabitkan pendekatan integrasi wilayah berasaskan koridor. Kedua, merangkumi peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi.

“Ketiga, memperkasakan institusi di kawasan IMT-GT dalam melaksanakan pelan yang ditetapkan. Keempat, pertumbuhan yang inklusif dan kelima, memberi lebih tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi hijau dan ekonomi biru.

“Justeru, kolaborasi antara ahli IMT-GT juga perlu merangka pelan pemulihan pasca COVID-19 termasuk pembukaan sektor yang teruk terkesan, khususnya pelancongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mustapa mempengerusikan Mesyuarat IMT-GT kali ini yang disertai Menteri Koordinator Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dan Menteri Kewangan Thailand, Arkhom Termpittayapaisith.

Mesyuarat itu turut disertai Naib Presiden Bank Pembangunan Asia (Asia Tenggara, Asia Timur dan Pasifik, Ahmed M Saeed dan Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi.

Mesyuarat terbabit bertujuan mencari kaedah terbaik untuk menyatukan subwilayah di ketiga-tiga negara dalam pembangunan sosioekonomi, perniagaan dan jalinan perhubungan.

Gabungan 32 negeri dan wilayah daripada tiga negara anggota IMT-GT dengan populasi 85.1 juta mempunyai potensi pertumbuhan ekonomi dengan pasaran yang amat luas.

Lapan negeri iaitu Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Selangor mendapat manfaat daripada program yang dilaksanakan IMT-GT.

Mustapa berkata, pembangunan di kawasan IMT-GT akan berpaksikan kepada Kerangka Pembangunan Bandar Mampan (SUDF) untuk menyokong transformasi pembangunan alam sekitar, ekonomi dan tenaga.

Jelasnya, perubahan iklim berpotensi memberi ancaman dan harus ditangani segera melalui SUDF.

“Negara-negara akan mengalami kerugian yang besar sekiranya ia tidak ditangani segera,” katanya.

Mesyuarat Menteri IMT-GT kali ke-28 akan diadakan di Thailand, pada hujung tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top