IPOH: Polis menahan tiga remaja lelaki selepas tular rakaman video menunjukkan seorang daripada mereka memegang senjata menyamai pistol, ketika mereka berada di hadapan sebuah rumah di sini, hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya mengesan rakaman video ketiga-tiga remaja berusia 20 hingga 22 tahun itu melalui aplikasi WhatsApp, pada kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.
“Perbuatan tiga remaja ini telah mendatangkan kegusaran kepada masyarakat terhadap keselamatan awam.
“Bertindak atas maklumat, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berjaya menangkap dua remaja yang terbabit, serta merampas satu senjata tiruan yang menyerupai senjata api jenis pistol semi-auto pada kira-kira jam 2.30 petang.
“Ketika ditahan, kedua-dua remaja ini sedang berkeliaran menunggang motosikal di Jalan Kampung Paloh, manakala seorang lagi remaja yang terbabit ditahan pada kira-kira jam 7 petang,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga remaja itu mengaku membeli pistol tiruan berkenaan dan berkumpul di hadapan sebuah rumah semalam sambil meminum arak, dan seorang daripada mereka mempamerkan pistol tiruan yang dimiliki dengan dirakam oleh rakan yang lain sebelum video ditularkan.
Mior Faridalathrash berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan tanpa lesen yang sah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.
– BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd




