Penyokong PSG kena 'scam'

Penyokong PSG kena 'scam'

PARIS: Penyokong Paris Saint-Germain (PSG) berkumpul menanti ketibaan bintang Argentina, Lionel Messi selepas meninggalkan Barcelona dengan penuh emosi, hujung minggu lalu.

Peminat setia PSG berkumpul di luar Stadium Parc des Princes dan di lapangan terbang di utara ibu kota Perancis, semalam dengan pemilik kelab dari Qatar dilihat bersedia menambah pemain berusia 34 tahun itu ke dalam skuad sedia ada yang turut dibarisi Neymar dan Kylian Mbappe.

Paris dijangka menjadi destinasi Messi yang seterusnya selepas menitiskan air mata untuk meninggalkan kelab yang diwakilinya sepanjang 17 tahun dalam karier profesionalnya yang gemilang.

Bagaimanapun, wartawan AFP TV mendakwa Messi masih lagi berada di kediamannya berhampiran Barcelona bersama keluarga dan bekas rakan sepasukan, Luis Suarez.

Selepas itu, media Perancis melaporkan bahawa dia sudah berangkat ke Ibiza untuk mengadakan perbincangan dengan kelab Paris itu.

Susulan pengumuman Barca pada minggu lalu bahawa mereka tidak mampu untuk mengekalkan pencetak gol terbanyak sepanjang zaman kelab, PSG muncul sebagai pasukan pilihan untuk menandatangani Messi selain dibantu oleh ‘kantung besar’ pemilik mereka dari Qatar.

Mereka melihatnya sebagai senjata baharu dalam misi menjuarai Liga Juara-Juara, trofi yang paling diinginkan berbanding yang lain.

Di luar padang, spekulasi perpindahan Messi itu meningkatkan 1.2 juta pengikut di akaun media sosial PSG sejak Jumaat lalu.

“Saya gembira jika dia tiba di Paris,” kata penjaga gol baharu PSG, Gianluigi Donnarumma kepada Sky Sports Italia.

“Dia pemain terkuat di dunia, saya teruja dan gembira untuk memilikinya di dalam pasukan,” katanya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top