KOTA KINABALU: Tawaran Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan pembangkang merupakan sikap diplomatik terpuji yang harus diterima demi kestabilan politik di negara ini.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pendekatan yang diambil bagi membentuk beberapa reformasi dalam pentadbiran negara ini seharusnya diterima dengan baik.
Pemimpin pembangkang yang bersetuju dengan pembaharuan ini sepatutnya mengambil tawaran tersebut sementara menunggu pilihan raya umum (PRU) dilaksanakan.
“Apa yang penting sekarang adalah usaha memerangi Covid-19. Jumlah kes harian terlalu tinggi dan ia mendatangkan risiko jika ingin mengadakan PRU,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, tumpuan utama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini adalah memerangi Covid-19 sehingga beliau bersedia melakukan apa yang perlu untuk memastikan negara berada di landasan yang betul.
Timbalan Ketua Menteri, yang juga Ahli Parlimen Keningau ini berkata, kerajaan persekutuan melakukan semua yang termampu untuk menstabilkan ekonomi dan politik dalam negara ini.
Tapi, amat menyedihkan apabila beberapa pemimpin politik tetap berkeras ingin menggagalkan usaha ini seolah-olah mereka hanya memikirkan kedudukan mereka dan bukannya penderitaan rakyat.
Pada masa sama, Jeffrey turut melahirkan kekecewaan kerana kestabilan politik ini banyak dibincangkan di Tanah Melayu, tidak ada pemimpin yang meminta pendapat rakyat Sabah dan Sarawak mengenai perkara itu.
“Seolah-olah kita di Sabah dan Sarawak hanya menjadi penonton drama politik ini dan apabila semuanya selesai, kita diminta agar menerima apa sahaja yang diputuskan oleh pemimpin politik di Tanah Melayu. Mereka merasakan itu adalah yang terbaik untuk Persekutuan Malaysia.
“Ketika ini apa yang penting adalah ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak untuk bekerjasama bagi menuntut komiten kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan tuntutan hak-hak wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya.
Jelas Jeffrey, beliau melihat Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang paling peka mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak. Tidak ada pemimpin lain yang bertindak sepertinya yang sedia mendengar tuntutan hak Sabah dan Sarawak.- UTUSAN ONLINE