Isyarat pemulihan ekonomi Malaysia makin ketara

Isyarat pemulihan ekonomi Malaysia makin ketara

zahrin@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Isyarat awal pemulihan ekonomi Malaysia terbukti pada minggu pertama bulan ini, khususnya dalam sektor perindustrian dan pengguna.

Ketua Ahli Ekonomi Kumpulan dan Ketua Penyelidik Pasaran RHB Banking Group, Dr Sailesh Kumar Jha, berkata pihaknya mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 5.4 peratus bagi keseluruhan tahun ini.

Beliau berkata, unjuran RHB itu juga lebih tinggi berbanding sasaran Bloomberg iaitu lima peratus dan anggaran semakan semula Bank Negara Malaysia (BNM) antara tiga ke empat peratus.

Katanya, pemulihan ekonomi pada tahun ini juga bakal melonjakkan lagi KDNK pada 2022 yang dijangka akan berkembang pada 5.5 peratus.

“Pemangkin utama sasaran optimis kami terhadap KDNK Malaysia adalah berdasarkan gabungan sains dengan ramalan, menggunakan data yang hampir dengan masa nyata untuk memantau ekonomi negara ini.

“Berdasarkan dapatan itu, kami hanya menemui bukti yang kecil atau terhad bahawa ekonomi Malaysia akan merosot pada suku ketiga 2021 dan suku keempat 2021. Pertumbuhan tahunan yang mantap bagaimanapun adalah cerminan asas rendah daripada penutupan (sektor ekonomi) tahun lalu.

“Dari segi penawaran, semua segmen ekonomi memberikan sumbangan positif kepada pertumbuhan tahunan. KDNK bulanan yang diumumkan menunjukkan pertumbuhan kukuh pada April dan Mei, masing-masing pada 40.1 peratus dan 19.8 peratus,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sailesh berkata, bank itu juga berpendapat penggunaan swasta akan pulih pada separuh kedua 2021 sebanyak tujuh peratus berbanding penguncupan sehingga 4.3 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, kadar pengangguran turut akan menurun kepada sekitar empat peratus pada separuh kedua ini berbanding 4.7 peratus pada enam bulan pertama 2021 disebabkan pertumbuhan eksport yang kukuh, selain pembukaan semula sebahagian besar ekonomi.

Katanya, bukti empirik dari pelbagai negara menunjukkan bahawa walaupun kadar vaksinasi COVID-19 meningkat namun pada masa sama kes harian baharu melonjak, ia tidak bermaksud bahawa kadar purata kematian purata meningkat secara mendadak.

“Justeru, langkah seterusnya yang akan diambil kerajaan adalah meletakkan Selangor dan Kuala Lumpur ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya pada pertengahan September.

“Metrik utama yang akan digunakan dalam membuat keputusan ini adalah kadar vaksinasi lengkap sekitar 40 hingga 50 peratus daripada populasi dewasa dan jumlah kemasukan ke ICU,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top