TMJ titahkan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta

TMJ titahkan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta

farid_noh@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibrahim, menitahkan pengurusan COVID-19 di negeri ini ditambah baik dengan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta.

Tunku Ismail dalam hantaran melalui Facebook baginda bertitah, langkah penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta dibuat bagi meringankan beban sistem kesihatan awam negeri, dan akan dimulakan secara berperingkat.

“Pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Sultan Ismail (HSI) akan dipindahkan ke Hospital Columbia Asia, manakala pesakit dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) akan dipindahkan ke Hospital Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

“Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, juga sudah mengumumkan penambahan katil di wad COVID-19 HSI dan hospital negeri ini, selain kemudahan khemah di hadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSI akan ditambah baik,” titah baginda.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor berkenan menerima menghadap Hasni; EXCO Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan; Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu; dan pakar kesihatan, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman serta Dr Dhesi Baha Raja.

Dalam itu, Tunku Ismail bertitah, satu inisiatif baharu dikenal sebagai IPA-C (Inisiatif Pemimpin Advokasi COVID-19), akan dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan Johor, Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.

Baginda bertitah, objektif inisiatif itu ialah untuk mencegah penularan wabak COVID-19.

“Ia mengutamakan konsep tanggungjawab kolektif dalam menggerak dan memperkasakan komuniti, memantapkan konsep komunikasi risiko yang berkesan bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat, dan memperkukuhkan usaha pemantauan terhadap pematuhan SOP.

“Proses vaksinasi juga harus dipercepatkan dan sentiasa dipantau oleh agensi serta pihak berkuasa supaya ia dapat dijalankan secara baik, cepat, selamat dan tidak membebankan rakyat yang datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Selain mempercepatkan proses vaksinasi, kita juga perlu memberi tumpuan kepada pesakit COVID-19 supaya mereka mendapat jagaan rapi yang sebaik-baiknya,” titah baginda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top