Pandemik ragut nyawa, kestabilan negara

Pandemik ragut nyawa, kestabilan negara

bhrencana@bh.com.my

Antara babak menarik dalam filem Nujum Pak Belalang lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai watak utamanya adalah ‘pertembungan’ beradu kepintaran menjawab soalan teka-teki antara Pak Belalang mewakili negeri Beringin Rendang dengan Datuk Ahli Nujum dari negeri Masai.

Salah satu soalan teka-teki yang pastinya penonton setia filem ini masih ingat adalah perihal banyak, sedikit-sedikit, jarang-jarang dan kadang-kadang.

Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia mencatatkan angka kumulatif 1.4 juta kes positif COVID-19 dengan lebih 12,000 nyawa terkorban.

Dengan perkembangan kes harian sekitar angka 15,000 hingga 20,000 sejak kebelakangan ini, pastinya untuk kembali ke angka bawah 100 atau sifar yang pernah kita catat masih jauh perjalanannya.

Kata orang banyak ranjau dan likunya, tetapi ia bukan mustahil untuk kembali ke angka terbabit.

Ketika gelombang pertama COVID-19, kita ‘jarang-jarang’ dan ‘sedikit-sedikit’ mendengar khabar berita jiran tetangga, rakan sekerja, sanak saudara mahupun ahli keluarga dijangkiti virus ini.

Kadar kematian ketika itu juga masih kecil, jadi ia hanya menjadi topik ‘kadang-kadang’ kita serius untuk ambil tahu.

Selepas negara dibadai gelombang ketiga COVID-19 ditambah kemunculan varian Delta, keadaan kini sudah bertukar menjadi banyak.

Kes jangkitan dan kematian dilaporkan sudah mula berada dalam lokaliti tempat tinggal. Kita juga mula mendapat banyak khabar berita insan kita kenali dijangkiti virus COVID-19 hari ke hari.

Jangkitan melalui varian Delta sukar dikawal dan sungguh berbahaya kerana dapat merebak cepat dalam masa hanya 15 saat melalui udara, seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut mengakui kerana jangkitan ini berlaku melalui udara, ia meningkatkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti yang menyebabkan peningkatan kes harian sejak 26 Jun lalu.

Ketika masih bergelut peningkatan kes kerana varian Delta, pakar kesihatan antarabangsa mendedahkan penemuan varian baharu lebih berbahaya, iaitu varian Lambda yang kali pertama dikesan di Peru dan mengakibatkan jangkitan lebih 80 peratus kes di negara itu.

Apabila semakin banyak kes jangkitan dan kematian berpunca daripada COVID-19, hikmahnya masyarakat semakin berhati-hati dan lebih patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Pak Belalang menang kerana nasib dan tuah, tetapi kita tidak akan menang dengan cara sebegitu dalam beradu kekuatan dengan COVID-19 kini.

Tewasnya Masai kepada Beringin Rendang, hanya kedaulatan negeri menjadi galang gantinya, tetapi jika tewasnya kita kepada COVID-19, negara akan runtuh dan lebih ramai rakyat hilang nyawa.

Lindungi diri kita dan semua dengan pengambilan vaksin dan kekalkan disiplin tinggi untuk sentiasa patuh pada SOP.

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top